KUALA LUMPUR – Kedudukan Pesuruhjaya Pas Selangor yang dipegang Datuk Iskandar Abdul Samad menimbul kekeliruan apabila Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin membuat kenyataan bahawa Iskandar digugurkan daripada jawatannya.

Malah dalam satu kenyataan, Takiyuddin berkata, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chempaka itu dinaikkan pangkat selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar yang melabuhkan tirainya minggu lalu.

“Beliau dikekalkan sebagai Naib Presiden dan oleh itu, ‘dinaikkan pangkat’.

“Selangor bukan satu-satunya negeri yang Pesuruhjayanya digantikan.

“Kami menggantikan pesuruhjaya Terengganu dan Johor juga,” kata Takiyuddin dalam sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Pas mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat di ibu pejabat parti itu hari ini.

Takiyuddin berkata, Iskandar telah diarahkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memberi lebih perhatian kepada negeri itu, selain dipertanggungjawabkan untuk menjaga tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor termasuklah Selangor.

“Ketiga-tiga Naib Presiden telah diberi tanggungjawab untuk menjaga negeri-negeri tertentu,” katanya lagi.

Dua lagi Naib Presiden antaranya Idris Ahmad diberikan tanggungjawab ke atas Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Sementara Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula dipertanggungjawabkan untuk memegang zon pantai timur membabitkan Pahang, Terengganu, Sabah selain Sarawak dan Kelantan.

Manakala, tugas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula diperluaskan bagi mentadbir hubungan luar parti. – MalaysiaGazette