IPOH -Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menghantar laporan penuh berhubung penutupan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) hampir 24 jam semalam, yang disyaki berpunca daripada mendapan tanah.

“Saya masih menanti laporan penuh daripada pihak MAHB kerana masalah tersebut membabitkan soal keselamatan di peringkat negeri.

“Selaku pemimpin yang mengetuai jawatankuasa keselamatan negeri juga saya fikir perkara tersebut perlu diperincikan kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Belia Perak di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional, Datuk Dr Mah Hang Soon menjelaskan LTSAS yang ditutup bermula 6.40 petang pada Khamis dibuka semula setelah mendapan tanah selesai ditambak kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis.

Langkah itu diambil selepas pihak MAHB mengesan lubang selebar 12 sentimeter dan sedalam1 meter di landasan lapangan terbang berkenaan.

Zambry berkata, mendapan tanah yang berlaku itu merupakan perkara di luar jangkaan memandangkan kerja-kerja membaik pulih LTSAS yang dijalankan MAHB beberapa tahun lalu membuktikan ia selamat untuk digunakan. – Bernama