KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui apa yang beliau lakukan selama hari ini adalah di atas dasar cintanya kepada negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah mengkhianati masyarakat Melayu seperti yang didakwa apabila membentuk satu pakatan dengan DAP selepas bertahun-tahun menentang parti itu.

“Ramai orang Melayu marah bila saya untuk duduk di sebelah Lim Kit Siang dan begitu juga orang Cina, ramai yang tidak berpuas hati.

“Orang Cina berasa dikhianati oleh Kit Siang dan orang Melayu rasa dikhianati oleh saya tetapi kami tidak mengkhianati sesiapa.

“Kita semua adalah rakyat Malaysia dan kita hanya mahu negara ditadbir dengan baik,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam kutipan dana anjuran pejabat Ahli Parlimen Gelang Patah di Johor Bahru malam semalam.

Tambahnya, keputusan beliau untuk bekerjasama dengan pembangkang hanya kerana beliau mempunyai rasa cinta kepada negara.

Dr Mahathir berkata, parti-parti pembangkang tidak boleh menang pilihan raya dan membentuk kerajaan secara bersendirian.

Ianya hanya dapat dicapai jika mereka semua bekerjasama.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang megumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang. – Malaysia Gazette.