Ramesh Rao

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu menyiasat Rafizi Ramli berhubung pendedahan seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu menyalahgunakan dana awam bernilai jutaan ringgit.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, tindakan Rafizi itu juga turut dipersoalkan Ketua Biro Hal Ehwal Guaman PKR, Latheefa Koya.

“Latheefa mengesahkan Rafizi terima jutaan ringgit daripada awam, mohon kerajaan dan pihak berkuasa siasat Invoke dengan segera.

“Kita mahu tahulah sumber ini dari mana? Berapa banyak dan ke mana ia digunakan? Jika wang awam, adakah duit dari Kerajaan Negeri Selangor atau wang derma dari rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan isu dana Invoke itu bermula semasa kedua-dua mereka berbalah apabila Latheefa mempersoalkan reka bentuk tiga logo yang disenarai pendek oleh Pakatan Harapan (PH) untuk dipilih yang dimuat naik oleh Rafizi di akaun Facebooknya baru-baru ini.

‘Pergaduhan’ itu bukan kali pertama di media sosial bahkan pergaduhan besar tercetus antara kedua-dua mereka di mana berlaku perang mulut dalam kumpulan aplikasi WhatsApp Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Ramesh juga menyifatkan Latheefa sebagai sudah mula muak dengan permainan politik di dalam PKR hingga sanggup mendedahkan apa yang dilakukan oleh Rafizi terutamanya dalam soal mendapatkan dana politik dari sumber awam.

“Mungkin Latheefa sudah tidak tahan dengan perangai Rafizi membuatkan dia memperkatakan sebegitu dan tidak menyedari bahawa dia sendiri sudah membuka pekung PKR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette