Ranjit Ajit Singh

KUALA LUMPUR –¬†¬†Pasaran modal Malaysia kekal terbuka kepada semua syarikat asing yang mahu disenaraikan di Bursa Malaysia, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

“Kita sentiasa membenarkan penyenaraian syarikat asing di Malaysia. Garis panduan dan pendekatannya sudah ada,” katanya di Forum Kewangan Islam dan Perkongsian Awam-Swasta Untuk Pembangunan Infrastruktur di sini, hari ini.

Forum sehari itu dianjurkan bersama oleh SC dan Bank Dunia. Ranjit berkata, syarikat asing yang berhasrat disenaraikan di Malaysia perlu memenuhi syarat tertentu.

Setakat ini, ada kira-kira 10 syarikat asing berpangkalan di Malaysia, termasuk Kanger International Bhd dan Maxwell International Holdings Bhd.

Menurut laporan, pada 2006, Malaysia melalui SC melonggarkan garis panduan pasaran modal bagi negara membolehkan syarikat besar milik asing yang mempunyai operasi di luar, mendapatkan penyenaraian utama atau sekunder di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Sementara itu, Ranjit berkata, 61 peratus projek infrastruktur di Malaysia menggunakan sukuk sebagai kaedah pilihan membiayai projek perkongsian awam-swasta, termasuk lebuh raya bertol.

“Hari ini, pasaran sukuk Malaysia menguasai 46.4 peratus daripada penerbitan sukuk dunia dan 52.6 peratus sukuk tertunggak di peringkat dunia,” katanya. –¬†MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan