Nasruddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas hari ini bertegas tidak akan menyertai mana-mana blok pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Demikian tegas Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan.

Sebaliknya, menurutnya, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan terus memberikan komitmen terhadap Gagasan Sejahtera yang dibentuk bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

“Pas terus akan kritikal memberikan pandangan, mengangkat isu nasional dan mengkritik sebarang pencemaran budaya politik dan ekonomi negara, disamping sedia bekerjasama dengan mana – mana pihak termasuk kerajaan dalam isu ummah dan melibatkan kepentingan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Nasruddin, pendekatan itu sesuai dengan amalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dipegang parti itu kini.

Malah Pas akan memainkan peranan yang signifikan dalam arus perdana politik tanah air yang akan terus mengkritik dasar-dasar kerajaan yang menghimpit rakyat.

“Pas tegas berpegang pada prinsip Islam berasaskan konsep keadilan dan kesatuan ummah serta mewujudkan semak dan imbang (check and balance) yang berkesan kepada pembangunan masa depan masyarakat dan negara,” katanya lagi.

Hadi sebelum ini turut menegaskan Pas tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya.

Katanya, Pas juga tidak boleh menyertai BN kerana masih terdapat halangan dalam melaksanakan dasar dan matlamat parti itu.

Pas mula bersendirian apabila memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015 lalu disebabkan oleh serangan peribadi terhadap Abdul Hadi.

Malah awal bulan ini, tindakan sama diambil oleh Pas pada Muktamar ke 63 parti itu apabila tegas untuk memutuskan hubungan dengan satu-satunya rakan takahuf sediada adanya, PKR.

Tindakan untuk memutuskan hubungan dengan PKR disampaikan dalam usul bersama 21 bahagian Pas, serta Dewan Ulama dan Dewan Pemuda, yang kemudiannya diluluskan secara sebulat suara oleh perwakilan. – MalaysiaGazette.