Nurul Islam Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menghentikan pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (FDPT) kepada parti politik ketika pameran itu diadakan sebagai tidak profesional.

Pengarah Jabatan Pilihanraya DPPM, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, tindakan itu bererti menyekat kebebasan parti politik mengakses maklumat berkaitan RDPT.

Kata beliau, SPR sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi menerusi pilihan raya bebas dan adil perlu bersikap profesional dengan memudahkan urusan semua pihak terutama pemilih dan parti politik.

“Bagi parti politik, pengedaran RDPT yang dikeluarkan SPR sangat penting untuk memastikan daftar pemilih bebas dari sebarang perkara meragukan, tetapi tindakan baharu SPR ini menyusahkan proses semakan.

“DPPM mendesak SPR supaya menarik balik arahan itu dan kembali kepada kaedah lama dengan mengedarkan RDPT,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh yang dilaporkan mengesahkan SPR mengeluarkan arahan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri untuk pemberhentian pengedaran RDPT Suku Tahun kepada parti politik semasa Pameran RDPT dijalankan.

Kata Abdul Ghani, surat itu adalah secara pentadbiran bagi pemakluman awal kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri sebagai persediaan sebelum surat pemakluman rasmi mengenainya kepada semua parti politik dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

Tindakan itu, ujar beliau, bukan hanya terpakai kepada parti politik, tetapi juga kepada semua pihak lain yang berkepentingan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nurul Islam mencadangkan SPR menyahut seruan kerajaan hendak mewujudkan “Kerajaan Elektronik” dengan memuatnaik RDPT di laman sesawang agensi itu. – MalaysiaGazette