Azmin Ali

KOTA DAMANSARA – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan gabungan Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Menteri Besar Selangor itu berkata, individu yang masih tidak dinamakan oleh PH itu akan diumumkan dalam masa terdekat bagi persiapan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.

“Kami (PH) memang ada calon untuk perdana menteri. (Bagaimanapun) kami akan umumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Karnival Peduli Rakyat hari ini.

Isu mengenai calon PM bagi pembangkang kian hangat diperkatakan ramai pihak ketika bahang PRU-14 makin terasa.

Antaranya bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang secara terbuka mencadangkang agar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu dipujuk untuk menjadi calon perdana menteri sekiranya ingin mempunyai peluang cerah memenangi PRU-14.

“Saya pula hanya seorang pemimpin kecil untuk Selangor,” katanya.

Nada itu nyata berbeza dengan kenyataan Mohamed Azmin sehari sebelumnya.

Mohamed Azmin dalam merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di SACC Convention Centre yang diadakan semalam berkata calon Perdana Menteri bagi PH boleh ditentukan kemudian.

Ujar Mohamed Azmin, PH perlu meraih kejayaan di beberapa negeri terlebih dahulu sebelum memuktamadkan soal calon perdana menteri mereka.

Zaid dalam tulisan di blog semalam mendesak PH menamakan Mahathir sebagai calon PM kerana langkah itu akan mendapat sokongan serta undi daripada akar umbi.

Malah menurut Zaid, pemilihan Mahathir sebagai calon PM boleh meleraikan kebimbangan umum bahawa DAP berminat untuk mengambil alih kepimpinan negara. – MalaysiaGazette.