Sallehin Mukhyi

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Pas Selangor yang baru dilantik Sallehin Mukhyi melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan kepimpinan negeri itu dengan mengambil langkah menggantikan dua daripada tiga timbalan pesuruhjayanya.

Menurut Ahli Dewan Undangan Sabak itu, rombakan yang dilakukan tiada sebarang kaitan dengan soal jawatankuasa sebelum ini yang didakwa gagal berfungsi dengan baik sebaliknya dibuat bagi memperkukuhkan lagi persiapan Pas menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ini pasukan untuk kita hadapi pilihan raya umum dan beberapa rombakan ini dibuat bagi memperkukuhkan Pas Selangor dan seterusnya memastikan kita memenangi pilihan raya,” katanya.

Barisan kepimpinan baharu Pas Selangor antaranya Yang Dipertua Pas Sepang, Mohd. Haslin Hassan yang dilantik selaku Timbalan Pesuruhjaya II, Yang Dipertua Pas Tanjung Karang, Mohd. Zamri Zainuldin pula sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas III.

Sementara Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dikekalkan selaku Timbalan Pesuruhjaya I.

Jawatan Setiausaha Pas Selangor juga bertukar tangan apabila Abdul Halim Omar diangkat bagi menggantikan ADUN Paya Jaras Mohd. Khairuddin Othman.

Khairuddin tidak lagi memegang jawatan berkenaan setelah ditukar ke lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.

Dalam pada itu, Sallehin berkata, Pas Selangor tidak akan melakukan sebarang rundingan berhubung pembahagian kerusi dengan PKR.

Pendirian berkenaan diambil sekiranya Majlis Syura Ulama Pas mengambil keputusan untuk meluluskan usul yang dibangkitkan sayap parti yang mahukan Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Menurut Sallehin, Pas Selangor bertegas akan bertanding 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor berbanding hanya 20 kerusi ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

“Jika Majlis Syura Ulama putus bahawa hubungan dengan PKR putus, tiada keperluan untuk kita berunding dengan PKR, kita akan bertanding ditempat yang telah kita sasarkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.