Dr Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan hukum liwat dan homoseksual adalah satu perbuatan haram dalam syariat Islam.

Menurutnya, tanpa syak dan khilaf, sesiapa yang membaca al-Quran sedia maklum bahawa Allah telah menjelaskan mengenai larangan perbuatan terkutuk itu.

“Dukacita bila ada yang berkata bahawa keharaman hal ini (homoseksual) tidak disebut dalam al-Quran. Ada pula yang menyatakan khilaf ulama sahaja.

“Ini merupakan kekeliruan yang amat dahsyat. Lebih dahsyat lagi bila ada yang menyatakan dalam hadis dibenarkan bercinta sesama lelaki. Itu cuba dijadikan dalil bolehnya homoseksual,” tulisnya menerusi status terbaru di Facebook milik beliau Dr. Maza.com.

Asri berkata demikian dipercayai mengulas dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kekeliruan kononnya tidak terdapat sebarang dalil dalam al-Quran mahu pun hadis berhubung larangan hubungan homoseksual.

Sebelum ini, bekas peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Afiq Mohamad Noor dikatakan mengeluarkan kenyataan kontroversi apabila menyatakan homoseksual tidak salah kerana `tidak terdapat sebarang nas daripada al-Quran dan hadis berkenaan hukum hubungan homoseksual’.

Kenyataannya menjadi tular di laman sosial hingga menjadi perbincangan yang hangat.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, perkataan cinta sesama lelaki yang disebut dalam hadis-hadis Nabi S.A.W bukan merujuk kepada cinta berunsur seks sebaliknya cinta kerana agama.

“Hendaklah kita faham bahawa bukan semua cinta itu berunsur seks. Ini seperti ibu mencintai anak, anak mencintai ibubapa, seseorang mencintai adik-beradik, kita mencintai para pejuang kebenaran dan seumpamanya.

“Perkataan yang digunakan dalam bahasa Arab ialah ‘hubb’ yang seperti ‘love’ dalam Inggeris. Untuk memahaminya hendaklah dilihat konteks penggunaannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette