Robert Mueller

WASHINGTON – Bekas Pengarah Biro Siasatan Persekutuan, Robert Mueller dinamakan sebagai peguam khas untuk melihat siasatan dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Timbalan Pendakwa Raya, Rod Rosenstein berkata, keputusan itu merupakan kepentingan awam yang membawa orang luar menyiasat kes tersebut.

Pelantikan itu disambut baik oleh parti-parti politik Amerika Syarikat.

Desakan untuk melantik pendakwa khas bagi menyiasat kes itu meningkat sejak Presiden Donald Trump memecat pengarah FBI, James Comey, minggu lalu.

FBI dan Kongres sedang mengkaji potensi hubungan pasukan kempen Trump dan Rusia.

Hanya lebih satu jam selepas berita pelantikan Mueller didedahkan, Trump meramalkan penyiasatan akan mengesahkan tiada sebarang pakatan sulit.

“Satu siasatan menyeluruh akan mengesahkan apa yang kita sudah tahu – tidak ada pakatan sulit antara kempen saya dan mana-mana entiti asing,” kata Trump.

Pemimpin Demokrat di Senat, Chuck Schumer berkata, Mueller berhak untuk menjalankan siasatan ini.

Dan, Pengerusi Jawatankuasa Dewan Pemantauan, Jason Chaffetz berkata, Mueller mempunyai pentauliahan bagi siasatan ini. – MalaysiaGazette