Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (dua kiri) bersama Pengarah Urusan MyClear, Peter Schiesser (kiri), Ketua Deposit dan Pengurusan Tunai Bank Islam Malaysia Berhad, Zury Rahimee Zainal Abideen (kanan) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff (dua kanan) bergambar pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Direct Debit Online di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mensasarkan pengurangan pembayaran melalui kaunter yang akan sekali gus meningkatkan bayaran balik melalui direct debit sehingga 10% pada hujung tahun berbanding 1% sedia ada.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkhidmatan Direct Debit akan meningkatkan jumlah bayaran balik peminjam PTPTN kerana kemudahan pembayaran atas talian akan memudahkan pengguna melakukan transaksi pada bila-bila masa.

“Ia akan mengurangkan beban perkhidmatan di kaunter selain memberi kemudahaan kepada 1.97 juta peminjam untuk membuat bayaran balik selain boleh membuat simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

Ia selaras dengan Bank Negara dalam usaha untuk tingkatkan perkhidmatan dalam sistem kewangan.

“Kaedah ini merupakan langkah PTPTN mahu ke hadapan. Tidak timbul lagi alasan peminjam  yang mengatakan susah mahu ke Pejabat PTPTN, sesak, jauh dan sebagainya,” kata Shamsul.

Menurutnya, sejak diperkenalkan pada Oktober 2016 sehingga April 2017 jumlah bayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan direct debit telah meningkat kepada RM7.38 juta dengan bilangan transaksi sebanyak 57,010 berbanding peringkat awal yang hanya mengutip RM70,000 dengan bilangan transaksi 442 sahaja.

Bayaran melalui direct debit ini juga katanya, berhak mendapat potongan 10 peratus seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017.

“Peminjam perlu rebut peluang ini, kerana dengan potongan tersebut sebenarnya kerajaan yang akan bayar kepada institusi tersebut. Kerajaan bayar bagi pihak peminjam dan ia hanya boleh dimanfaatkan sehingga 31 Disember tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini yang turut hadiri oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yussof.

Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff bercakap pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Direct Debit Online di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 JUN 2017

Sementara itu menurut Wan Ahmad, peminjam yang mempunyai masalah bayaran balik dinasihatkan berunding dengan PTPTN dengan menghubungi Careline PTPTN 03-2193 3000 untuk mendapatkan jumlah yang sesuai bagi transaksi Direct Debit.

“Buat panggilan Careline dahulu dan setelah rundingan selesai baru isi borang Direct Debit secara atas talian. Ini bagi mengelak kesan lain seperti rekod CCRIS masih tidak baik dan rekod di imigresen masih kekal walaupun potongan dibuat.

“Ini kerana ada peminjam sudah buat potongan bulanan namun masih ada rekod CCRIS sebab jumlah potongan tidak mencukupi mengikut jadual penstrukturan semula bayaran,” katanya.

Tambahnya, bagi peminjam yang telah mengisi borang Direct Debit sebelum 20 haribulan, potongan akan dibuat pada bulan yang sama dan jika selepas tarikh tersebut maka potongan akan berlaku pada 10 haribulan pada bulan berikutnya.

Proses permohonan Direct Debit boleh dibuat melalui portal www.ptptn.gov.my dan klik di ikon ‘Permohonan Direct Debit’ dan proses permohonan akan mengambil masa kira-kira tiga hari yang mana keputusannya akan dimaklumkan melalui emel peminjam.

Ia boleh dilakukan melalui 17 buah bank, antaranya Bank Islam, Maybank Berhad dan CIMB Bank.

Sehingga 30 April seramai 32,003 peminjam yang membayar balik pinjaman PTPTN menerusi Direct Debit telah menikmati diskaun sebanyak 10 peratus, melibatkan jumlah sebanyak RM19.49 juta dengan jumah diskaun sebanyak RM1.95 juta. – MalaysiaGazette.