Dengan keadaan jalan raya seperti ini jika berlaku kemalangan, patutkah pemandu dipersalahkan?

ALLAHU AKBAR… Allahu Akbar… Allahu Akbar… Wa Lillaahilhamd.

TANGGAL 25 Jun ini bersamaan Ahad, maka bergemalah takbir raya di surau-surau, madrasah dan masjid-masjid seluruh negara. Itu adalah hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa. Menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Semua wajah tidak kira tua muda, kecil besar, miskin kaya akan berseri-seri dan ceria. Sibuk dengan urusan menyedia dan menyiapkan apa yang patut mengikut kemampuan masing-masing.

Yang bergelar perantau pula tentu sibuk dengan perkiraan hari apa dan waktu bila nak bertolak balik ke kampung. Jadual perjalanan pulang mesti kena rancang dengan baik dan bijak. Kalau tidak, bertemulah dengan ‘jam’ yang teruk.

Mengikut perkiraan tokey-tokey lebuh raya, lebih tiga juta kenderaan dari ibu kota akan menggunakan lebuhraya untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Ada yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan untuk pulang ke destinasi kelahiran atau kampung mertua di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Ada juga menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak nak balik ke Pahang dan Kelantan dan tidak sedikit menggunakan Lebuhraya Pantai Timur I serta Lebuhraya Pantai Timur II (LPT I dan LPT II) nak pulang ke Kuantan dan Terengganu.

Bagi perantau dari Kelantan, mereka hanya dapat menikmati perjalanan lebuh raya bermula Plaza Tol Gombak hingga ke Plaza Tol Bentong sahaja. Selepas itu menyusurlah mereka di jalan-jalan negeri dan persekutuan yang permukaannya berolak alun bagai padang bola tak siap.

Yang balik laluan LPTI dan LPTII pula, kenalah bersedia untuk menambah isi tangki minyak. Sebab seperti biasa, satu tangki petrol yang diisi penuh di Kuala Lumpur tidak mencukupi untuk sampai ke destinasi di Kota Bharu. Jaraknya agak jauh dan meletihkan.

Bahkan, sehari dua ini jabatan dan agensi penguatkuasaan kerajaan dah galak mengeluarkan nasihat serta amaran kepada pengguna jalan raya.

Seratus peratus nasihat dan amaran dituding kepada pemandu. Mereka kata berlakunya kemalangan berpunca daripada kecuaian dan kelalaian pemandu. Mereka tidak pernah nak cermin cari kesalahan sendiri.

Oleh itu, kepada pemandu, baik yang bawa keluarga mahu pun diri sendiri, jika mengantuk berhenti rehatlah dulu di hentian Rehat dan Rawat. Jangan sekali-kali memasuki lorong kecemasan atau memandu terlalu laju atau memotong kenderaan hadapan membabi buta.

Yang penting sekali, jangan guna telefon bimbit untuk membuat panggilan atau menjawab panggilan, apatah lagi berwasap atau menyemak status facebook ketika memegang stereng kereta.

Perbuatan macam ini mengiyakan alasan pihak berkuasa yang sentiasa mengambil sikap mudah, menyalahkan kita jika berlaku insiden tidak diingini.

Setakat ini, saya tidak pernah dengar nasihat atau amaran dikeluarkan pihak berkuasa kepada tokey-tokey lebuh raya atau khususnya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menjaga serta menyelenggara jalan negeri dan persekutuan.

Mereka tidak pernah cuba ambil tahu, sama ada permukaan jalan ratakah, lubang di kiri kanan jalan sudah ditampalkah, garisan putih di tengah dan bahu jalan dah dicatkah? Dan kadang-kadang jalan boleh ‘jam’ teruk disebabkan pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan.

Sepatutnya tiga empat hari sebelum raya dan tiga empat hari selepas raya, tidak perlulah hendak mengadakan sekatan jalan. Biarkanlah dan berikanlah peluang kepada pengguna jalan raya menikmati pemanduan yang lancar tanpa gangguan daripada perkara remeh ini.

Lokasi-lokasi yang dikenali pasti bahaya pula, cubalah berusaha untuk perbaikinya. Lebarkan lah kalau laluan itu sempit. Kurangkan peratusan kadar selekoh kalau kawasan itu merupakan selekoh tajam.

Jangan pula ketika pemandu berdepan masalah dengan laluan yang merbahaya ini, pihak berkuasa ambil kesempatan tambah beban mereka dengan pasang kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Pemasangan kamera AES langsung tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan, malah menambahkan lagi beban rakyat dengan perangkap saman ini.

Jangan tanamkan pemikiran rakyat dengan persepsi kerajaan hanya tahu ambil duit rakyat melalui saman, bukan nak gunakan duit rakyat untuk selenggara jalan raya supaya bertambah baik dan selesa.

Saya memang tidak setuju dengan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memasang kamera AES tambahan. Sebab, pemandu yang tahu di mana ada perangkap kelajuan, di situ mereka akan memperlahankan kelajuan.

Sebaik melepasi zon perangkap laju, mereka memecut semula. Jadi, di mana yang dikatakan kerajaan, usaha hendak mengurangkan kemalangan? Mengurangkan insiden di lokasi yang ada kamera AES?

Banyak lagi kaedah yang boleh dilakukan untuk mengelak atau mencegah kemalangan daripada berlaku. Cara kempen melalui pemasangan papan iklan yang pelbagai saiz sahaja tidak mencukupi kerana pemandu tidak sempat nak membacanya.

Bahkan, bagi saya iklan di tepi jalan ini sebenarnya termasuk antara faktor punca berlakunya kemalangan. Pemandu boleh hilang tumpuan pemanduan kerana hendak membaca tulisan yang tertera pada iklan berkenaan.

Adakah kerana iklan menyumbang sumber pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) maka pihak berkuasa seperti JPJ dan polis tidak boleh berbuat apa-apa dan hanya sekadar berdiam diri?

Kerajaan mempunyai ramai pakar intelek dan tukang pemikir, takkan mereka tidak boleh mencetuskan reformasi memikirkan kaedah terbaik untuk bagaimana hendak menambakbaikkan kualiti jalan raya?

Saya tidak mahu menyalahkan kerajaan seratus peratus dalam hal ini, dan kerajaan pun tidak boleh meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pemandu. Umum tahu, jalan raya dan kenderaan ibarat lagu dan irama. Mereka harus seiring atau orang putih kata, “win win situation”.

Saya sendiri sebagai pengguna jalan raya yang berulang alik setiap masa dari Kuala Lumpur ke kampung kelahiran di Kelantan, banyak merakamkan kelemahan kerajaan dalam menyediakan jalan raya kepada rakyat.

Saya juga sering berdepan dengan karenah segelintir pemandu ‘gila’. Memandu di jalan raya yang sempit seolah berada di litar lumba. Langsung tidak memikirkan keselamatan dan nyawa orang lain. – MalaysiaGazette