Sentuh atau tersentuh perkara biasa dalam dunia artis

KALI ini saya nak ubah topik pula. Dah bosan asyik dengan isu politik, hari ini saya nak sentuh pasal dunia artis.

Jangan tanya saya, siapa artis idola saya, kerana saya akan jawab, “setakat ini tidak ada seorang pun artis yang muncul di era 90-an yang saya minat.

Kalau zaman 60-an, 70-an dan 80-an dulu memang ramai artis idola saya. Saya cukup minat lakonan dan nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, saya rindu nak dengar lagu dari suara merdu Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

Masih terbayang-bayang lawak Allahyarham Datuk S. Shamsuddin dan Allahyarham Datuk Aziz Satar dalam filem-filemnya terdahulu.

Begitu juga suara emas Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, koleksi lagu Uji Rashid dan Hail Amir serta ramai lagi artis seangkatan mereka ini.

Kalau artis sekarang, sorry to say la.. mereka bukan idola saya. Mereka juga bukan artis yang boleh dijadikan ikutan. Mereka muncul di persada seni pun bukan kerana seni, tapi kerana nak cari populariti.

Biasanya artis yang muncul tiba-tiba dan popular secara tiba-tiba juga, karier mereka tidak lama. Mereka hanya muncul semusim kemudian hilang bermusim-musim.

Satu perkara yang saya tengok artis zaman ini, seolah ia satu trend bagi mereka, ialah suka bercerita hal peribadi, hal dalam selimut secara umum selain mengenakan pakaian menjolok mata.

Kalau artis dahulu boleh dijadikan ikutan, artis sekarang perlu difikir dua tiga kali untuk dijadikan model, kerana perbuatan sesetengah mereka ini boleh mendekatkan peminat ke jalan maksiat.

Tengok saja pada pakaian mereka. Kalau tak ketat, memang tak sah jadi artis. Nak jadi artis pakaian mesti kena tonjol atau nampak kedua-dua ‘gunung’, bahagian pinggul mesti nampak timbul, bahagian depan dari paras perut ke bawah mesti menampakkan bayangan tertentu.

Bukan setakat pakaian saja, perbualan, percakapan dan kenyataan media pun mesti ada unsur-unsur ghairah yang mendorong peminat berfantasi. Mungkin pada mereka itulah value story yang orang media nak dan mungkin dengan kenyataan sedemikian nama mereka akan naik.

Jadi, tidak peliklah kalau di dada-dada akhbar dan di laman-laman sosial penuh dengan berita artis cantik manis itu sedia mengandung lagi dan rindu nak hamil.

Perlukah beritahu kepada media yang anda akan terus pujuk isteri anda agar sedia hamil lagi? Wajarkah anda menyatakan yang anda sudah bersedia timang anak pertama, kedua, ketiga? Patutkah anda nyatakan yang anda rasa tertekan kerana belum mengandung dan mengharapkan untuk mengandung?

Saya dengar pun rasa jijik. Seolah tidak ada perkara lain yang lebih penting dan mustahak nak diberitahu kepada media untuk publisiti.

Ini semua, akan mengajak sesetengah peminat terutama yang fanatic untuk berfantasi dengan anda. Peminat membayangkan bagaimana proses yang anda lakukan dengan pasangan anda untuk mengandung.

Tidak cukup dengan itu, wajah anda, tubuh badan anda termasuk yang terbuka mahu pun yang tertutup dan aksi anda menjadi bayangan mereka.

Anda yakinkah dalam ribuan peminat anda, semuanya baik? Semuanya bergembira apabila mendapat tahu artis kesayangan mereka bersedia mengandung, hamil dan mendapat anak?

Entah-entah kamu yang menjadi mangsa fantasi peminat yang ada penyakit gila seks. Inilah yang orang tua-tua dulu kala kata, “tak ada penyakit, cari penyakit”.

Anda tidak boleh salahkan mereka kalau ada yang berfantasi sedemikian. Ia tidak akan berlaku kalau anda bercakap perkara yang baik-baik. Perkara yang mengajak mereka ke jalan yang diredhai Allah. Bukan perkara yang mencondongkan mereka kepada maksiat.

Begitu juga ada pelakon lelaki memohon maaf kerana tersentuh buah dada pelakon perempuan ketika mereka sama-sama berlakon dalam satu adegan membonceng motosikal.

Saya tengok, yang perempuan bukan sedih pun perkara itu berlaku, malah suka… ketawa bila cerita atau klik video lakonan yang tersentuh buah dada itu tular.

Nampak sangat itu bukan isu besar yang harus dijadikan topik perbualan. Mungkin pada mereka, perkara sedemikian dianggap biasa. Tapi dalam negara yang majoriti penganut Islam, kejadian seperti itu adalah dosa.

Adakah patut, orang laki tersentuh buah dada kita, kita senyum. Tersipu-sipu lagi, kononnya malu. Lepas tu, selepas seminggu dua, baru artis lelaki minta maaf.

Kelakar betul dunia artis kita hari ini. – MalaysiaGazette