Allahyarham Syed Aiman Zain

KUALA LUMPUR – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Pusat Pakar Pergigian Imperial menunjukkan Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, iaitu menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ketika menerima rawatan pergigian di pusat berkenaan, Jun tahun lepas.

Menerusi rakaman yang berdurasi lebih dua jam itu Syed Alman Zain telah menerima CPR lebih daripada 30 minit oleh lelaki sama yang memberi suntikan kepada mangsa ketika mula-mula menerima rawatan di bilik rawatan pusat pakar itu.

Rakaman itu yang dibuat dalam bentuk video yang ditayangkan di Mahkamah Sesyen hari ini juga menunjukkan suasana kelam kabut dan kelihatan beberapa individu lain cuba membantu mangsa yang terbaring di kerusi rawatan dalam keadaan terkulai.

Selepas lebih 30 minit CPR dilakukan, kelihatan beberapa anggota paramedik mengusung dan membawa mangsa keluar dari bilik rawatan itu.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-14 ASP Mohd Hanizan Md Wasli, 41, yang bertugas di D10 Audio Video, Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia, Cheras, memberitahu mahkamah bahawa beliau menggunakan sistem Ikena Video Forensik untuk menganalisis video berkenaan.

“Saya telah mencetak gambar yang telah dianalisis daripada rakaman CCTV dan menyerahkannya kepada pegawai penyiasat,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar dalam perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Syed Alman Zain.

Pada 12 Ogos tahun lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun 2016.

Dia yang diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah, 38, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia.

Perbicaraan di hadapan hakim Zaman Mohd Noor bersambung esok.

— BERNAMA