Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Setiawangsa pada pelancaran Kempen Suku-Suku Separuh 2017 di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 7 JULAI 2017.
KUALA LUMPUR – Amalan pemakanan yang tidak sihat punca rakyat di negara ini berdepan pelbagai masalah kesihatan terutama sekali kegemukan dan kencing manis.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam mendakwa, sikap rakyat tidak kira daripada peringkat kanak-kanak hingga ke dewasa terkategori dalam masalah kesihatan khususnya kegemukan.
Katanya, kajian terbaharu kementeriannya menunjukkan rakyat Malaysia kurang mengamalkan pengambilan sayur-sayuran dalam makanan harian.
“Jika melihat statistik mobiliti kesihatan yang dilaksanakan pada tahun 2015 sahaja, sebanyak 17 peratus golongan dewasa berusia 18 tahun dan ke atas tergolong sebagai obesiti atau kegemukan.
“Ini perkara yang serius bagi kementerian dan atas sebab itulah hari ini kita memulakan kempen Pinggan Sihat ‘Suku Suku Separuh’ untuk menggalakan kanak-kanak hingga ke dewasa mengamalkan gaya pemakanan sihat sepepanjang hidup.
“Kita memulakan kempen ini di sekolah kerana di luar negara terbukti amalan pemakanan sihat yang dimulakan dari bangku pra sekolah membolehkan kanak-kanak membawa amalan itu secara tetap sepanjang hidup dan memastikan ahli keluarga mereka juga terikut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau bersama Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan telah melancarkan Kempen Suku Suku Separuh di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa di ibu negara petang tadi.
Subramaniam berkata, ia merupakan mesej ringkas dan mudah difahami yang akan disampaikan kepada rakyat menerangkan konsep Pinggan Sihat Malaysia.
Pinggan Sihat Malaysia bermaksud suku bahagian pinggan diisi dengan sumber kabohidrat seperti nasi, mi atau roti, suku pinggan lagi dengan sumber protein seperti ikan, ayam dan daging manakala separuh pinggan lagi diisi buah dan sayur sayuran.
Dalam perkembangan yang sama, katanya, kempen itu akan diadakan sepanjang bulan Ogos ini dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta termasuk pihak sekolah sebelum memperluaskan di semua peringkat.
Beliau juga berkata, hasil daripada pelaksanaan kempen berkenaan tidak boleh diharapkan pada masa singkat sebaliknya ia akan memakan masa sehingga lima tahun untuk melihat kesannya.
Dalam isu yang sama, Subramaniam juga berkata, pihaknya juga mahu mempertingkatkan penglibatan kedai-kedai dan restoran makanan dalam menyediakan pemakanan sihat kepada rakyat.
Beliau memberitahu, kementeriannya juga mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan restoran supaya menyediakan menu makanan pilihan yang sihat secara berterusan.
“Kita juga sebagai permulaan melaksanakan pelabelan kalori pada makanan di beberapa premis makanan seperti di premis Rehat dan Rawat sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.
“Usaha juga dijalankan untuk melaksanakan ia di restoran menerusi pelabelan restoran terbaik dimana restoran melabel kalori makanan dan penyediaan makan dalam persekitaran bersih, sihat dan selamat dan yang menepati syarat itu akan diberi label terbaik.
“Ia secara tidak langsung membolehkan rakyat memilih restoran yang sihat dan selamat dimakan.
“Setahun lepas saya melancarkan program ini dan sambutannya memuaskan, cuma perlu dipertingkatkan lagi secara agresif untuk melibatkan lebih banyak restoran,” ujarnya. – MalaysiaGazette