Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu adalah peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

31 OGOS 2017. Malaysia tanahairku menyambut Hari Kemerdekaan ke-60. Rupanya sudah 60 tahun kita hidup dalam negara yang merdeka dan bebas daripada penjajah.

Masa Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan kata-kata keramat “Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!” di Stadium Merdeka kita termasuk saya yang berusia bawah 60 tahun belum lagi dilahirkan.

Kita dilahirkan pada zaman pasca merdeka dan antara generasi yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan.

Ketika saya berusia tujuh tahun, saya belum mengerti apa itu merdeka tetapi saya antara rakyat Malaysia yang paling gembira menyambut Hari Kemerdekaan.

Saya gembira kerana pertama kali memasuki alam persekolahan tahun 1970, saya diajar oleh cikgu (Allahyarham) Zainun cara melukis dan mewarna bendera Malaysia.

Kami menggunakan kertas buku sekolah. Cabut helaian tengah buku itu dan dilatih melukis. Kami melukis bintang 14 bucu bersama bulan sabit kemudian diwarnakan dengan warna kuning.

Lepas itu gunakan pembaris kayu untuk buat garisan sebanyak 14 jalur. Yang ini kena warnakan dengan warna merah dan putih.

Selepas itu, barulah warnakan kotak empat segi dengan warna biru untuk menonjolkan bulan sabit dan bintang 14 bucu.

Bendera itu kami gamkan pada batang buluh yang diraut halus sepanjang satu meter. Rasa berderau bulu roma apabila saya mengibarkan bendera itu sambil menyanyikan lagu Negaraku.

Tiap-tiap tahun, masuk saja bulan Ogos, kami mengulangi perkara yang sama – melukis dan mengibarkan bendera Malaysia.

Kami tidak tidur malam mengarakkan bendera Malaysia di serata kampung sambil menyanyi lagu Negaraku.

Tidak ada rasa malu. Tidak ada rasa segan dan tidak ada rasa kekok ketika itu, melainkan rasa semangatnya yang lain macam meresap dalam jiwa. Saya Anak Malaysia, kata penyanyi SAM dalam lagunya.

Pendek kata, zaman saya kecil dan dewasa dulu, sebulan sebelum sambut Hari Merdeka, tidak ada walau sehari yang tidak meriah.

Macam-macam acara dianjurkan yang kami sertai. Pertandingan mewarna Jalur Gemilang, pertandingan merekacipta bendera terbesar, pertandingan meneka jumlah bucu bintang dan jalur serta jumlah warna dalam satu Jalur Gemilang.

Suasananya sungguh meriah. Ada yang tak tidur malam, tidak sabar menunggu tibanya Hari Merdeka 31 Ogos.

Ada yang sanggup kayuh basikal dan berjalan kaki berpuluh kilometer ke stadium untuk sambut hari gilang gemilang dan semata-mata untuk sama-sama melaungkan kata-kata keramat “Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!”

Di pasar-pasar raya borong. Jalur Gemilang dijual dengan harga murah dengan tujuan boleh dibeli atau dimiliki oleh semua peringkat bangsa.

Pihak sekolah, pihak agensi dan jabatan kerajaan, pihak swasta mahupun individu yang kaya raya membelinya dalam jumlah yang banyak untuk diagihkan kepada orang ramai. Inilah semangat kemerdekaan.

Namun, semangat dan kegembiraan itu hilang sedikit demi sedikit. Tahun demi tahun. Sambutan Hari Kemerdekaan negara hanya meriah di atas kertas sahaja.

Tidak ada lagi acara mengibar Jalur Gemilang besar-besaran sepertimana dahulu. Tidak ada lagi acara mengarak Jalur Gemilang siang dan malam dengan laungan “Merdeka!!!” dari pelbagai kaum masyarakat.

Hari ini, sedar-sedar Hari Kemerdekaan sudah berlalu. Masyarakat alpa dengan aktiviti harian. Tidak wujud lagi walau sedetik dalam hati mereka untuk mengorbankan duit membeli Jalur Gemilang untuk dihiaskan pada kenderaan, di pekarangan rumah atau premis mereka.

Tiang bendera dibiarkan kosong. Kalau ada pun Jalur Gemilang yang sudah lusuh dan koyak rabak berkibar malas dipuncak tiang.

Jalan-jalan raya, kenderaan yang lalu lalang, rumah dan premis perniagaan tidak lagi dipasang Jalur Gemilang. Semangat mengisi kemerdekaan sudah luntur. Masing-masing sibuk mengejar harta sehingga sanggup menggadaikan semangat patriotik dalam diri.

Anak-anak muda, mahupun orang-orang dewasa hari ini juga seolah tidak tahu apa itu hari kemerdekaan. Orang dahulu laung “merdeka” dengan penuh semangat dan makna, mereka laung “merdeka” sekadar laung, sekadar menjerit tanpa mengerti apa itu kemerdekaan.

Bukan suatu yang mengejutkan, kalau kita tanya kepada generasi hari ini, tahun ke berapakah Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2017 ini? Tanpa rasa segan dan malu mereka menjawab, “entah”, “tidak tahu” dan “tidak ingat”.

Ada juga yang teka membabi buta, 30 tahun… 52 tahun.. 67 tahun.. ada yang ketawa bila diajukan soalan itu dan tidak sedikit cuba mengingatinya dengan menyanyi serangkap lagu Tanggal 31, nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad.

Penyakit alpa yang menimpa masyarakat Malaysia ini harus diubati.

Pihak-pihak berkenaan perlu memainkan peranan dari sekarang untuk menyemarakkan semula semangat merdeka dalam jiwa rakyat pelbagai bangsa, agama dan kaum ini. Dikhuatiri, suatu hari nanti mereka lupa nama negara, Malaysia.

Jangan biarkan kita, rakyat Malaysia seluruhnya dan negara kita Malaysia amnya diejek dan diperkotak katikkan oleh rakyat negara jiran, Thailand dan Indonesia. Semangat mereka terhadap bendera dan tanah air kekal utuh sejak dulu, kini dan selama-lamanya.

Di Indonesia dan Thailand, rakyatnya sanggup mati semata-mata pertahankan bendera negara mereka. Mereka anggap bendera adalah maruah diri yang perlu dipertahankan sampai ke akhir nyawa.

Persoalan saya untuk ke sekian kalinya, dapatkah rakyat Malaysia menjiwai sepenuhnya Jalur Gemilang sebagaimana rakyat Indonesia dan Thailand menjiwai bendera mereka? – MalaysiaGazette