Tiap minggu masjid memperolehi ribuan ringgit hasil derma orang ramai.

SAYA tertarik dengan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah pasal duit derma masjid.

Memang benar semua masjid-masjid besar di daerah, negeri dan pusat akan dapat peruntukan dari kerajaan negeri masing-masing. Yang pusat dapat dari kerajaan Persekutuan.

Selain dapat peruntukan tahunan, masjid juga dapat duit dari derma orang ramai yang datang menunaikan solat Jumaat mahu pun berjemaah solat lima waktu.

Saya sendiri pun, tiap kali Jumaat, tak pernah ketinggalan menderma walaupun 50 sen atau RM1. Kalau ramai jemaah pakat menderma, banyaklah masjid dapat kumpul duit.

Selalunya masjid gunakan duit derma ini untuk bayar bil elektrik dan air, selain bayar upah penceramah untuk sesi kuliah Maghrib atau Isyak.

Sebagaimana kata MB Kedah, sesetengah masjid mempunyai dana sangat besar sehingga lebih RM20,000 sebulan hasil derma orang ramai.

Katanya, tidak rugi kalau masjid berkenaan gunakan 10 peratus daripada jumlah itu untuk beli makanan asas dan diberi makan kepada golongan memerlukan.

Tidak dinafikan, setiap mukim mesti ada golongan yang kesempitan duit walaupun pada mata kasar kita tengok mereka pakai kereta dan tinggal di rumah sewa. Mestilah mampu.

Sebenarnya, inilah golongan miskin bandar. Gaji bulanan tidak cukup untuk menyara keluarga untuk tempoh sebulan sementara menunggu gaji berikutnya. Kesusahan dialami hanya mereka saja yang tahu. Hutang sekeliling pinggang pulak tu.

Itu fungsinya ada masjid, ada surau di setiap kawasan. Ahli jawatankuasa masjid dan surau lebih arif dan tahu dengan masalah dihadapi anak mukim masing-masing.

Jadi, tepat sekali cadangan Ahmad Bashah supaya masjid turut main peranan membantu golongan miskin bandar. Gunalah duit derma yang ada untuk beli beras, sardin, susu kanak-kanak, gula atau pampers.

Salurkan barang keperluan ini kepada yang betul-betul daif. Tak perlu nak rumitkan prosedur pemilihan keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan. Imam, bilal dan AJK tentu tahu sebab mereka tinggal berjiran dengan golongan miskin bandar ini.

Kalau kita tengok pada kerjaya dan gaji golongan berkenaan, tentulah kita beranggapan mereka tidak layak terima bantuan, tetapi pernahkah kita fikir, tiap bulan gaji mereka habis ke mana dan apa yang dibelanjakan?

Kalau setakat gaji RM2,500 sebulan, tentulah tidak mencukupi kerana tiap bulan perlu bayar ansuran kereta, sewa rumah, bayar hutang, bil air, bil letrik, bil internet, belanja anak sekolah dan keperluan dapur lagi.

Dengan RM2,500 sebulan apa sangat yang boleh digunakan. Nak simpan RM50 sebulan pun susah. Sekelip mata saja duit gaji sudah habis. Lepas itu, mulalah cari kawan, jiran atau sanak saudara nak berhutang.

Bagi saya, miskin bandar ini lain macam dugaannya. Kadang-kadang kita tengok orang itu hidupnya seperti tidak ada masalah, kita terus sangka dia ada duit. Tapi tahukah kita, hakikat sebenar dihadapi golongan itu? Beras di dapur telah lama habis. Belanja sekolah anak mula susut.

Maka peninglah ketua keluarga memikirkan dengan siapa pula perlu dipinjam. Sedang hutang sudah keliling pinggang.

Sebab itu, pihak pengurusan masjid perlu proaktif dan produktif. Dekatkan diri dengan anak kariah, dakwah mereka dengan cara berikan bantuan. Bukan bantuan berbentuk kekal, tetapi sekadar meringankan beban mereka pada bulan berkenaan sahaja.

Saya yakin, golongan ini pun malu untuk menerima bantuan sepanjang masa. Yang mereka perlu ialah pada hari-hari tertentu sahaja.

Hal inilah yang cuba diterapkan oleh kerajaan Kedah bawah pimpinan Ahmad Bashah. Beliau melihat kebanyakan masjid menggunakan dana derma orang ramai pada jalan yang tidak sepatutnya.

Malah, ada sesetengah masjid langsung tidak tahu menggunakan dana dengan betul. Ada yang belanjakan untuk bina pagar baharu, beli karpet baharu, bina tandas baharu, cat baharu sedangkan pagar, karpet, tandas dan cat bangunan masjid sedia ada masih elok dan kukuh lagi.

Para asnaf yang melihat aktiviti masjid itu yang dianggap sebagai pembaziran hanya mampu menelan liur. Mungkin ada dalam kalangan mereka berfikir, alangkah eloknya kalau pihak masjid gunakan dana yang ada itu untuk kebajikan anak mukim.

Mengapa kita tidak mencontohi gereja? Begitu mudah menyalur bantuan tanpa mengira bangsa dan agama. Hanya tinggalkan nama dan nombor telefon sahaja. Ambillah duit dalam kotak itu berapa yang diperlukan.

Tidak ditanya kerja, tidak ditanya mengapa. Esoknya pihak gereja hubungi pula, tanya mengenai kehidupan. Masih sempit atau sudah lega. Kalau sempit dijemput ke gereja ambil dana lagi. Mudah kan?

Lainlah kalau dana masjid itu cukup-cukup untuk bayar bil api dan air sahaja. Itu lain cerita, ini kisah masjid yang kaya raya.

“Sungguh…” kata Ahmad Bashah. Beliau cukup kecewa. Sangat kecewa sebenarnya melihat masjid yang gah-gah, tetapi asnaf di depan mata tidak dipedulikan. Duit yang ada, lebih rela bayar upah penceramah ternama beribu ringgit, sedangkan ahli kariah berlapar dahaga.

Kalau semua masjid buat apa yang disarankan MB Kedah ini, alangkah bahagianya si fakir miskin. Mereka rasa dipedulikan dan masjid makin didekati. – MalaysiaGazette