Iklan penganjuran `Better Beer Festival 2017'

KUALA LUMPUR – Penganjur Better Beer Festival 2017 didakwa berdegil apabila mahu pesta itu diteruskan.

Menerusi kenyataan di sebuah akhbar berbahasa Cina, mereka dilaporkan tidak bercadang menukar lokasi penganjurannya dan sikap itu menunjukkan acara itu akan tetap diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sin Chew Daily melaporkan, jurucakap penganjur berkata, penganjur juga tidak akan memohon kepada negeri-negeri lain untuk mengadakan acara berkenaan.

“Kami tidak cadang memohon dengan negeri-negeri lain. Kalau mohon pun, tidak semestinya akan diluluskan,” kata laporan itu.

Pesta arak itu yang dijadualkan diadakan pada 5 dan 6 Oktober ini menerima kecaman banyak pihak terutama umat Islam yang rata-rata kesal kerana penganjurnya menjadikan Malaysia sebagai lokasi pesta itu.

Penganjur dikatakan akan membawa 250 jenama arak berbeza daripada 43 syarikat arak di seluruh dunia untuk memenuhi cita rasa pengunjung. – MalaysiaGazette