Iklan penganjuran `Better Beer Festival 2017'
PETALING JAYA – Kerajaan negeri Selangor tidak menghalang penganjuran pesta bir, tetapi pihak penganjur harus memenuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan memperoleh surat sokongan polis.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata, kerajaan negeri tidak menghalang pesta bir termasuk aktiviti seumpama yang diadakan di kawasan terbuka.
Hian Wah ketika dihubungi Sinchew Daily bagaimanapun memberitahu bahawa beliau tidak tahu jumlah permohonan penganjuran pesta bir yang diterima.
Katanya, keadaan itu berlaku kerana perkara tersebut adalah di bawah kuasa kerajaan tempatan yang tidak perlu dipanjangkan kepada kerajaan negeri.
“Difahamkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Klang pernah menerima permohonan penganjuran pesta bir.
“Dua kerajaan tempatan ini akan membuat keputusan berdasarkan kerangka dasar kerajaan negeri yang tidak menghalang pengajuran pesta bir,” katanya.
Seorang Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya pula mendedahkan bahawa pihak majlis pada masa ini hanya menerima satu permohonan penganjuran pesta bir di 1Utama.
Jelasnya, aktiviti itu tidak menjadi isu kerana ia tidak diadakan secara terbuka. – MalaysiaGazette