Sepuluh wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan Petisyen Rakyat Malaysia yang menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kekal bebas bertindak tanpa gangguan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 OKTOBER 2017

PUTRAJAYA – Lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar petisyen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Kumpulan NGO itu mahu SPRM terus kekal dan bebas bertindak tanpa sebarang gangguan.

Presiden Malaysia Corruption Watch, Rais Abdul Karim bertindak sebagai penganjur program itu dan mengetuai penyerahan petisyen kepada SPRM.

“Kami menyampaikan petisyen rakyat dan menegaskan kita nak pihak SPRM meneruskan usaha yang dilakukan sekarang ini,” jelasnya setelah menyerahkan petisyen tersebut di sini.

Petisyen itu diserahkan kepada Ketua Staf Eksekutif Ketua Pejabat Pesuruhjaya SPRM, Datuk Nor Azlan Md. Razali.

“Mereka terima dengan terbuka dan beliau meminta semua NGO bersabar dalam isu JITN yang mana kerajaan sedang lakukan kajian dan proses dalaman,” tambah Rais. – Malaysia Gazette