KUALA LUMPUR – Seorang Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd. Ashraf Mustaqim Badrul Munir membidas Siti Kasim yang mempertikaikan tindakan PPBM mengumpul petisyen membantah pesta arak di Selangor.

Beliau mempertikaikan tindakan Siti yang  melatah dan tidak berpuas hati dengan petisyen balas dijalankan oleh Armada Selangor.

“Lihatlah bagaimana reaksi Siti Kasim terhadap petisyen? Seorang peguam dan aktivis ‘demokrat’ yang kononnya begitu ‘liberal’ dengan sendirinya begitu ‘tertutup’ dan merendahkan nilai amalan demokrasi.
.
“Bukankah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerdekakan kita untuk menyatakan suara atau pandangan (tentangan)?” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Ashraf Mustaqim juga mempersoalkan pemikiran liberal Siti yang disifatkan sebagai kolot kerana mengganggap hanya dirinya sahaja yang betul dan tidak boleh menerima pandangan orang lain.

“Tidak sangka Siti Kasim begitu kolot dalam hal sebegini. Adakah pemikiran ‘liberal’ ini hanya terarah pada satu kehendak yang pada hematnya benar sahaja sehingga menidakkan hak dan pendangan orang lain?” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ashraf Mustaqim juga mempertahankan langkah mengumpulkan petisyen membantah pesta arak di Selangor walaupun pendirian itu berbeza dengan rakan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata jumlah mereka yang dikumpulkan dalam membantah petisyen tersebut adalah jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan petisyen dilancar kumpulan menyokong pesta arak.

“Berbanding pihak Armada yang mana sehingga 3 Oktober telah melebihi jumlah 30,000 dan menjangkakan akan mencapai jumlah 40,000 -50,000 dalam masa terdekat,” katanya.

Malahan, petisyen tersebut juga ditandatangani oleh masyarakat bukan Melayu yang membantah pesta arak itu diadakan, katanya.

Menurut Mohd. Ashraf Mustaqim, petisyen menyokong penganjuran yang dijalankan oleh individu bernama Boo Su-Lyn hanya berjaya mendapat jumlah kecil jika dibandingkan dengan petisyen Armada.

Petisyen itu dilancarkan Pemuda PPBM Selangor pada 29 September.

Armada PPBM Selangor mendakwa sudah berjaya mengutip lebih 10,000 tandatangan membantah penganjuran pesta arak, Oktoberfest di negeri berkenaan.

Petisyen dengan tajuk ‘Hapus Budaya Pesta Arak di Malaysia’ itu kemudiannya diserahkan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pemuda PPBM juga memberi amaran kebebasan tanpa kawalan akan membuka ruang kepada parti homoseksual dan perkahwinan sama jantina pada masa depan.

Pemuda PPBM bagaimanapun menafikan mereka mahu mencampuri gaya hidup orang lain apabila membantah sambutan itu.

Perdebatan mengenai Oktoberfest tercetus apabila Pas menggesa Festival Better Beer 2017 yang dijadual pada esok hingga 7 Oktober ini dihentikan. – MalaysiaGazette

Siti Kassim bidas Pemuda PPBM bantah Oktoberfest

 

Comments are closed.