KUALA LUMPUR- Pengalaman baharu yang menakjubkan tatkala mula menonton filem Tombiruo – jauh dari apa yang disangkakan.

Memulakan visual dengan menyorot pepatung membawa penonton menghayati keindahan hutan yang meliputi sungai, pokok, batu dan ranting kayu.

Ia seakan memberi amaran ini bukanlah filem biasa yang anda akan tonton selama hampir dua jam.

Naskhah Tombiruo merupakan novel tulisan penulis suspen thriller prolifik, Ramlee Awang Murshid.

Novel itu mula dicetak 20 tahun lalu dan sehingga kini novel itu merupakan antara yang mendapat jualan tertinggi di Malaysia seterusnya meletakkan karya itu dilayar perak sememangnya cabaran besar kerana novel itu mempunyai sub plot yang bersimpang siur namun sub plot itu penting dalam menunjangi karya tersebut.

Secara keseluruhannya, usaha menterjemah novel berkenaan ke dalam bentuk filem amat menarik meskipun terdapat sedikit kelonggaran.

Tombiruo mengisahkan Ejim (lakonan Zul Arifin) yang merupakan penghuni hutan dengan gambaran berwajah terlalu hodoh sehingga bapanya, Pondolou (Faizal Hussein) memakaikannya topeng.

Ejim mempunyai kuasa luar biasa untuk mempengaruhi alam kerana itu dia digambarkan sebagai Tombiruo atau penunggu rimba.

Masalah mula timbul apabila, syarikat Tan Sri Berham (Datuk M.Nasir) mahu mengorbankan hutan untuk projek pembinaan empangan.

Konflik utama filem itu mula timbul apabila Amiruddin (Farid Kamil) terlihat Ejim membunuh Berham yang juga bapa mentuanya dan isterinya, Selina (Faye Iskandar).

Wartawan penyiaran Wan Suraya (Nabila Huda) menjadi saksi kejadian menjejaki Ejim untuk merungkai misteri penunggu hutan itu.

Amiruddin pula terus menjejaki Ejim kerana mahu membalas dendam terhadap kematian isteri dan bapa mentuanya.

Sesungguhnya memampatkan novel itu ke bentuk filem adalah cabaran terbesar produksi.

Hampir dua tahun diambil bagi kerja-kerja pra produksi kerana untuk dijadikan filem mereka perlu menyunting karya itu ke dalam durasi yang terhad.

Mata penonton akan kagum dengan permainan visual, lakon layar dan aksi.

Semuanya telah diatur cantik dua pengarah Seth Larney dan Nasir Jani.

Namun sayangnya filem itu kurang mengambil perhatian kepada pengembangan watak.

Pengembangan sub plot Amiruddin terlalu marah kepada Ejim, emosi geram ibu (Marlia Musa) dan anaknya Baizura (Dynaz Mohktar), kepercayaan keluarga terhadap Juslan (Hasnul Rahmat) dan perasaan Ejim terhadal Wan Suraya tidak diberi perhatian.

Namun kegagalan itu bukanlah bermakna Tombiruo sebuah naskhah gagal sebaliknya kritikan ini adalah sekadar apa yang dirasai sebagai penonton.

Keseluruhannya filem ini membuka dimensi baru dalam dunia perfileman tempatan.

Filem terbitan Astro Shaw, Idaete Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan yang menelan belanja RM6juta ini menemui penonton bermula 12 Oktober lalu.- Malaysia Gazette