KUALA LUMPUR – Negara memerlukan simpanan sisa bahan radioaktif tambahan kerana pusat simpanan sedia ada hanya mampu menampung hingga tahun 2050.

Kemudahan simpanan telah dibangunkan 30 tahun lalu dan solusi untuk menghadapi masalah ini perlu difikirkan.

“Dalam masa hadapan ini mungkin bahan-bahan yang tak digunakan ini akan bertambah, jadi kita perlu fikirkan apa yang perlu dilakukan,” ujar Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Mohd Ashhar Khalid kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Kawalan Sumber Radioaktif kali kedua di sini.

Pusat simpanan ini turut digunakan tujuan merawat sisa radioaktif yang digunakan dalam pelbagai industri seperti pembuatan, pembinaan, petrokimia, pertanian, penyelidikan dan perubatan.

Kaedah lain yang turut boleh digunapakai untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan pembinaan lubang laras.

“Ini dalam peringkat kajian. Kita belum putuskan, kita perlu kaji dari segi saintifik. Kalau perlu kita buat lubang laras bawah tanah apa kesan kepada air dan bumi,” tambah Ashhar.

Berhubung isu yang sama, pihaknya telah memohon peruntukkan dalam Bajet 2018 bagi mewujudkan pusat simpanan bagi menampung keperluan masa akan datang.

Mesyuarat selama lima hari ini dihadiri 30 peserta dari 26 negara termasuk pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta dua pakar dari Amerika Syarikat.

Mesyuarat ini antara lain akan meneroka dan meningkatkan peluang kerjasama dalam pengurusan punca radioaktif terkedap terpakai (DSRS). – Malaysia Gazette