Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yakin Kapten Izham Ismail yang dinamakan sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan meneruskan usaha memulihkan syarikat penerbangan itu.

Beliau berkata, Malaysia Airlines ialah sebuah organisasi yang lebih daripada sekadar syarikat penerbangan kerana ia membawa nama, imej dan jenama negara di angkasa dan seluruh pelusuk dunia.

“Selamat maju jaya buat Kapten Izham Ismail, saya yakin beliau akan teruskan usaha pulihkan MAS agar kembali berdaya saing, kukuh dan menguntungkan.

“MAB lebih daripada sekadar syarikat penerbangan, ia bawa nama, imej & jenama #Negaraku di angkasa raya dan ke seluruh pelusuk dunia. Kebanggaan kita,” kata Najib menerusi catatan di laman rasmi Twitter beliau, malam tadi.

Dalam kenyataan semalam, MAB berkata Izham, yang pada masa ini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO), akan menyandang jawatan CEO pada 1 Disember 2017, selepas ketiadaan Peter Bellew, yang kini sedang dalam cuti pentadbiran. – MalaysiaGazette