KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 orang, melibatkan ahli dan penyokong dari Pas serta Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan bertembung di hadapan bangunan pejabat PAN Salor, dekat Kota Bharu, malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, sekumpulan kira-kira 200 ahli dan penyokong Pas dikatakan menyerbu kawasan itu untuk ‘merampas’ bangunan pejabat berkenaan yang didakwa milik Pas Kelantan.
Bagaimanapun, kumpulan Pas itu dihalang oleh lebih kira-kira 100 ahli dan penyokong PAN Kota Bharu yang dari awal lagi membuat benteng manusia bagi mempertahankan pejabat itu yang didakwa milik ketua mereka, Datuk Husam Musa.
Sepasukan anggota polis turut berada di tempat itu untuk mengawal keadaan dan pada awalnya berlaku tolak menolak antara kedua-dua kumpulan penyokong berkenaan.
Polis berjaya menyuraikan perhimpunan itu pada jam 9.50 malam, dengan masing-masing kumpulan berundur pada jarak kira-kira 150 meter antara satu sama lain.
Perebutan pejabat itu bermula sebaik sahaja Husam mengisytiharkan menyertai PAN pada Ogos tahun lalu.
Berikutan itu, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud mendakwa, pejabat itu adalah milik Pas.
Bangunan itu dibina hasil kutipan derma dan sumbangan daripada ahli serta penyokong Pas dan dijaga oleh Husam yang ketika itu Yang Dipertua Pas Kawasan Salor.
Sebaik Husam menyertai PAN, beliau menganggap bangunan itu juga miliknya, menyebabkan Pas tidak berpuas hati dan berusaha untuk mendapatkan haknya.
Ketika kejadian Husam dikatakan berada di luar kawasan dan penyokong Pas sempat memasang bendera parti di sekeliling bangunan pejabat itu. – MalaysiaGazette
Comments are closed.