Home #Bajet2018 Bajet 2018 praktikal

Bajet 2018 praktikal

Kuala Lumpur- Bajet 2018 mencerminkan sensitiviti kerajaan kepada rakyat.

Ini diterjemahkan menerusi dasar-dasar penyayang tetapi praktikal terutamanya kepada golongan B40 dan M40.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, bajet yang memberi fokus kepada isu-isu rakyat seperti pengurangan cukai pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah, meningkatkan bantuan ke atas makanan asas dan pengangkutan serta menyediakan lebih banyak peruntukan kepada rumah mampu milik adalah satu cara bijak kerajaan untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam jangka pendek dan panjang.

Fokus untuk membina lebih 385,000 rumah mampu milik menunjukkan kerajaan mengambil langkah tegas untuk mengatasi masalah pemilikan rumah kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Memanjangkan skim pembiayaan PR1MA kepada pemaju perumahan swasta adalah satu langkah yang patut dipuji bagi memudahkan pemilikan rumah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Wahid Omar

Sementara itu, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Bajet 2018 amat menyeluruh, progresif dan menyentuh pelbagai aspek ekonomi.

Ia termasuk pasaran modal, keusahawanan, pendidikan, pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama mengekalkan komitmen kerajaan untuk menguruskan kewangan secara mapan,” katanya. – MalaysiaGazette