KUALA LUMPUR- Sudah selesa berada di puncak populariti nampaknya Bintang Paling Popular ABPBH 2016, Fattah Amin sehingga kini tidak betah duduk diam.

Terbaharu, beliau giat merangka perancangan untuk melebarkan kerjaya seni dalam bidang lakonan mahupun nyanyian.

Bintang drama Suri Hati Mr. Pilot itu memberitahu, dia dan pihak pengurusannya mendapat tawaran untuk menerbitkan lagu dari dua komposer luar negara.

“Kita ada dapat tawaran daripada komposer Indonesia dan Korea,”ujar pelantun suara lagu Wanita Terakhir dan 1234U.

Ketika ditanya Malaysia Gazette adakah melalui tawaran itu bermakna Fattah sudah bersedia mengembangkan sayap ke dua-dua negara itu, Fattah sempat menjeling pengurusannya yang berada disisinya.

“Itu yang kita rancang bagi tahun hadapan. Perancangan dengan komposer Korea itu belum diputuskan lagi, masih diperingkat awal. Tapi kami ada perancangan berduet dengan artis Korea.

“Untuk pasaran Indonesia kita banyak dengar kalau nak masuk pasaran Indonesia kena kolaborasi. Kadang-kadang orang ingat kalau kita nak masuk pasaran sana kena tunggu tawaran tapi tak semestinya. Tapi perancangan kita berduet dengan artis sana,” tambah Fattah lagi.

Bagaimanapun Fattah enggan mengulas lanjut siapa komposer dan artis yang dimaksudkan.

Pelakon yang bakal muncul dengan drama Coffee Prince November nanti ditemui selepas pengumuman namanya sebagai duta tilam jenama King Koil.

Di bawah jenama itu, Fattah akan mempromosi koleksi tilam Prince dengan tiga model baharu iaitu Crystal, Sapphire dan Diamond.

Menurut Pengurus Besar Kanan King Koil Malaysia, Cheng Kai Hin pemilihan Fattah adalah bagi menguatkan segmen pasaran golongan pertengahan bersesuaian harga tilam itu bermula dari RM 1119 hingga RM 2199.

Kai Hin yakin dengan kehadiran Fattah jumlah jualan dapat dipertingkatkan 15 peratus dengan mengambil kira kelembapan pasaran tahun hadapan. – Malaysia Gazette