Nazri Aziz

KUALA LUMPUR – Keputusan segelintir pemilik hotel melarang pekerja wanitanya memakai tudung disifatkan sebagai suatu tindakan kurang ajar dan tidak bertanggungjawab, kata  Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Nazri yang berang dengan tindakan tersebut turut mengingatkan pemilik hotel yang menjalankan perniagaan di negara ini supaya menghormati undang-undang tubuh negara Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Tambah Nazri, arahan hotel bertaraf antarabangsa melarang pekerja wanita Islam memakai tudung adalah bertentangan dengan dasar hak asasi manusia yang selalu dilaungkan mereka.

“Saya tidak fikir syarikat antarabangsa yang mengamalkan hak asasi manusia, termaktub dalam perlembagaan syarikat mereka melarang memakai tudung.

“Syarikat besar ini sememangnya syarikat yang kuat menekankan kualiti dan human right. Saya tidak fikir mereka kenakan syarat sedemikian dan saya tidak percaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Pra Pelancaran Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLICF) 2017, di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam masa sama, Nazri turut memberi amaran kepada mana-mana individu warganegara Malaysia yang sengaja mewujudkan larangan tersebut di hotel-hotel dalam negara ini.

“Jadi, pada saya kalau sesiapa yang nak pertahankan sebagai SOP, dia memang kurang ajar. Adakah kalau telanjang dan bogel lebih baik dari bertudung. Kalau rakyat Malaysia nak pertahankan, dia memang kurang ajar,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Bagaimanapun menurut Nazri kementeriannya belum mendapat sebarang aduan mengenai perkara tersebut.

“Kita tidak pernah terima lagi aduan. Kementerian kita hanya beri ranking dan rating pada hotel sahaja dan tidak berdasarkan pakaian. Mungkin ini di bawah kuasa pihak berkuasa tempatan atau kementerian yang berkaitan dengan isu tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan beberapa rangkaian hotel antarabangsa di negara ini telah menetapkan syarat larangan memakai tudung kepada pekerja wanita muslim di hotel mereka.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel itu atas alasan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.