Home Dunia Iran harap Hariri kekal sebagai PM

Iran harap Hariri kekal sebagai PM

LONDON – Teheran berharap Saad al-Hariri akan kekal sebagai perdana menteri Lubnan sambil menafikan Hariri meletak jawatan selepas pertemuan tegang di Beirut.

Hariri meletak jawatan pada 4 November ketika berada di Arab Saud dengan alasan demi keselamatan dirinya dan keluarga.

Beliau percaya ada plot pembunuhan terhadapnya dan menuduh Iran dan sekutunya Hezbollah telah meningkatkan persengketaan di dunia Arab.

Hariri telah terbang ke Riyadh pada 3 November lalu selepas pertemuan dengan Ali Akbar Velayati, penasihat tertinggi kepada Ayatollah Ali Khamenei di Beirut.

“Hariri mendakwa dalam pertemuan kami, beliau meminta Iran supaya tidak campur tangan dalam urusan Lubnan tetapi dia tidak mengatakan apa-apa,” kata Velayati yang dipetik sebagai berkata oleh laman web televisyen Iran.

Velayati pula menuduh Arab Saudi menghidupkan api ketegangan kerana ia “tidak dapat bertolak ansur dengan persahabatan strategik” antara Tehran dan Beirut.

Peletakan jawatan Hariri telah menyebabkan Lubnan terlibat dalam krisis politik baru dan berada pada garisan depan permainan kuasa serantau antara Sunni Arab Saudi dan Syiah Iran yang memusnahkan Syria, Iraq, Yaman dan Bahrain.

Velayati berkata, Hariri dalam pertemuan mereka telah menawarkan untuk menjadi orang tengah antara Iran dan Arab Saudi dan beliau mengalu-alukan tawaran itu.

Arab Saudi telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran pada Januari 2016 selepas penunjuk perasaan Iran marah berikutan pelaksanaan hukuman pancung seorang pemimpin kanan Syiah oleh Riyadh.

Kejadian itu menyebabkan Kedutaan Arab Saudi di Tehran dibakar. – MalaysiaGazette