PORT DICKSON – Polis Daerah Port Dickon sedang mengesan seramai 41 individu dikehendaki termasuk tiga wanita yang terbabit dengan pelbagai kes jenayah di daerah itu sejak tahun 2009.

Ketua Polis Daerah, Supt Zainudin Ahmad berkata, individu yang diburu dipercayai terlibat dengan jenayah kekerasan, bunuh (satu), rogol (dua), samun (dua), pemerasan (satu), ugutan jenayah (dua), merusuh (dua), mendatangkan cedera (satu).

“Semua individu terbabit adalah warga tempatan berumur 22 hingga 56 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.

Zainudin berkata ada di antara individu yang dikehendaki terlibat dengan jenayah harta benda, lain-lain curi (sembilan), curi kenderaan jentera berat (satu), curi kenderaan motokar (dua), curi motosikal (satu) dan pecah rumah (sembilan).

“Selain itu ada juga yang terlibat berkaitan jenayah Akta Senjata Api (tiga), culik dan pengurungan salah (satu) dan kesalahan di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT)1953 (empat),” katanya.

Beliau berkata antara individu paling dikehendaki iaitu M. Batumali, 47, beralamat terakhir di Ladang Hopeful Batang Berjuntai, 45600, Batang Berjuntai, Selangor, yang melibatkan kes bunuh pada tahun 2011.

“Selain itu, dua individu paling dikehendaki melibatkan kes rogol ialah Ruslan Hasyim, 51, beralamat terakhir di No. 222 Kampung Pasir Wardieburn Setapak, Kuala Lumpur dan Mohd Hazroun Ariffin, 34, beralamat terakhir di K 54 Taman Geliga 2, Jalan Kuala Kemaman, 24000 Kemaman, Terengganu.

“Suspek lain yang dikehendaki V. Kanesan, 44, beralamat terakhir di 116A Taman Desa Jaya 2, 08000, Sungai Petani, Kedah kerana terlibat dengan tiga kes pecah rumah pada tahun 2013,” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang terlibat merupakan orang luar kawasan yang melakukan kegiatan jenayah di daerah ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu berkenaan boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson di talian 019-2233449 atau 06-6472222 atau menyampaikan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette