Foto Instagram Fattah Amin.

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon yang heboh dikatakan bernikah dalam diam malam tadi, Fattah Amin dan Fazura memohon peminat menunggu hingga 23 November ini kerana satu sidang media akan diadakan pada tarikh tersebut.

Menurut satu kenyataan bersama mereka, lokasi dan masa sidang media itu akan dikongsikan dalam waktu terdekat ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Fattah dan Fazura.

“Dengan izin dari Yang Maha Esa, Fattah Amin dan Nur Fazura telah pun berangkat ke Mekah bagi menunaikan umrah. Perjalanan mereka turut disertai oleh ahli keluarga bagi kedua belah pihak dan wakil pengurusan.

“Dengan penuh rendah diri, Fattah dan Fazura ingin memohon seribu kemaafan dan memohon doa dari semua rakan-rakan wartawan dan para peminat semoga umrah mereka dipermudahkan dan berjalan dengan selancar-lancarnya. InsyaAllah.

Berikutan susulan dari perkara ini, pihak Fattah Amin & Nur Fazura akan mengadakan satu sidang media pada 23 November 2017. Lokasi & masa sidang media ini akan kami kongsikan di waktu terdekat ini. “Terima kasih atas doa-doa kalian dan insyaAllah semoga diberkati dengan umrah yang mabrur.” – MalaysiaGazette