Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Rangkaian DPMM, Mohd Shahrul Anuar Mahmod (kanan) dan Presiden Women Association for Development and Innovation, Sukmamurni Abdul Manaf (tengah) menunjukkan kenyataan akhbar yang mereka adakan pada sidang media berhubung diskriminasi terhadap kaum melayu anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) di Bangunan Dewan Perniagaan, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 NOVEMBER 2017

DAMANSARA – Kerajaan digesa campur tangan dalam isu larangan bertudung bagi pekerja di barisan hadapan sektor perhotelan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, tindakan itu perlu kerana arahan menanggal atau melarang mereka yang bertudung adalah bentuk diskriminasi yang jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Kita minta pihak kerajaan masuk campur. Satu pelaksanaan undang-undang adalah wajar pada ketika ini dan kami terima bagi memastikan majikan berhati-hati dan tidak membuat keputusan berasaskan kepada perkauman,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman pada sidang media berhubung diskriminasi terhadap kaum melayu anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) di Bangunan Dewan Perniagaan, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 NOVEMBER 2017

Jelas Ahmad Yazid, alasan yang larangan itu adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diamalkan di peringkat antarabangsa juga tidak munasabah kerana Malaysia adalah negara Islam yang majoritinya adalah kaum Melayu.

“Kita sudah 60 tahun merdeka, tidak perlu ada diskriminasi berasaskan bangsa dan kaum. Hujah bahawa larangan ini adalah SOP antarabangsa, ini alasan yang tidak masuk akal.

“Ada kajian menyatakan bahawa ada unsur diskriminasi dan perlu perkara ini dikaji secara menyeluruh malah beberapa akta dan penguatkuasaan perlu yang lebih tegas dilakukan bagi mengelakkan perkara ini tidak lagi berlaku,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Ekoran itu, Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mengarahkan pihak berkuasa tempatan menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini yang melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan hotel.

Semuanya bermula apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam dengan diarahkan menanggalkan tudung mereka.

“Perlu juga diperhalusi SOP di setiap sektor pekerjaan di negara ini agar ia dapat harmoni dengan setiap agama dan kepercayaan yang ada dalam negara sebagaimana majikan larang solat Jumaat dan bertudung,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MTEM turut mendesak agar Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel-Hotel Malaysia (MAH), Samual Cheah Swee Hee meletak jawatan kerana tidak memahami prinsip hospitaliti dalam sektor perkhidmatan hotel.

Selain MTEM, sebanyak 15 lagi badan bukan kerajaan (NGO) turut menyokong langkah itu agar diskriminasi terhadap wanita bertudung segera dihentikan.

Antaranya, Angkatan Belia Islam Malaysia, Ikatan Muslimin Malaysia, Persatuan Patriots Malaysia serta Pertubuhan Pembangunan dan Inovasi Malaysia. -MalaysiaGazette.