Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucapan dasar pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Api obor perang yang kini marak menjulang  jangan dibiarkan padam, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Berucap penuh semangat dihadapan seramai 2,718 perwakilan, beliau membakar semangat ahli-ahli parti menjelang PRU-14 tidak lama lagi.

“Demamnya pula tidak akan kebah-kebah melainkan selepas kita menang besar dalam PRU-14,” katanya dalam ucapan dasar merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017  (PAU 2017) disini hari ini.

Pentas PAU 2017 kali ini merupakan perhimpunan parti terakhir sebelum PRU-14.

Dalam ucapannya juga, Najib mengingatkan perwakilan PRU-14 adalah ‘Bapa Segala Pilihan Raya’.

Lantaran itu, beliau  menyeru jentera parti itu meletakkan diri dalam kesiapsiagaan untuk berjuang mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Perang kali ini yang bergelar Bapa Segala Pilihan raya, kita akan bertempur, berlawan..lawan habis-habisan!.. Allahu Akbar! Allahu Akbar!,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini sebentar tadi.

 

Beliau yang mengajak perwakilan mengimbas perhimpunan bagi meraikan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei lalu, katanya pasti ramai yang masih mengingati doa yang diaminkan ratusan ribu ahli UMNO.

“Memohon setulus ke hadrat Allah Hu Taala supaya dilindungilah, perjuangan parti UMNO ini, dirahmatilah, segala usaha yang kita lakukan, demi agama, bangsa dan negara serta diberkatilah, tanah tumpah bertuah ini.

“Justeru, kita terus merafak harapan membumbung kepada Yang Maha Penyayang, biarpun burung berhenti bersiulan, sekalipun bumi ini kontang tidak menghijau lagi, hatta alam sekeliling jadi membisu… mohon barang dijauhkanlah oleh Tuhan, sebarang mala petaka daripada menimpa umat Melayu Bumiputera ini. – MalaysiaGazette