Home Dunia YouTube perketat peraturan penyiaran iklan

YouTube perketat peraturan penyiaran iklan

SAN FRANCISCO – Laman perkongsian YouTube mengumumkan meningkatkan peraturan berkaitan penayangan video-video iklan.

Menurut Timbalan Presiden Paparan Video YouTube dan penganalisis, Paul Muret, tindakan dibuat ketika laman itu berusaha mengurangkan kebimbangan iklan disiarkan bersama-sama dengan kandungan yang didapati mengganggu.

“Tidak dinafikan lagi tahun 2017 adalah tahun sukar dengan beberapa isu menjejaskan komuniti kami dan rakan pengiklan.

“Cabaran yang kami hadapi pada tahun 2017 membantu kami membuat perubahan tegas tetapi perlu pada tahun 2018,” katanya.

Tambah Muret, saluran di YouTube perlu mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 pelanggan dan 4,000 jam tontonan dalam masa setahun untuk layak disiarkan iklan.

Sebelum ini, saluran layak disiarkan iklan sebagai sebahagian Program Rakan YouTube dengan mengumpul 10,000 tontonan atau lebih.

“Kami mahu mengambil kira saiz saluran, pembabitan penonton dan tindak tanduk pencipta untuk menentukan kelayakan iklan,” katanya.

YouTube juga ujarnya akan memantau rapi masalah spam, salah guna bendera dan petunjuk lain bagi memastikan saluran kekal dengan dasar perkongsian video kandungan. -MalaysiaGazette