Sahara Yaakob

SEPANG – Seramai 23 penggiat seni antaranya Sahara Yaacob, Zaiton Sameon, Ayati Tasrip, Ibnor Riza Ibrahim, Zaleha Hamid, Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Baharuddin Buyong Kahar, hari ini berangkat ke Makkah di bawah Program Umrah Penggiat Seni.

Program anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih itu julung kali diadakan, hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Penggiat Seni tahun lepas.

Bagi novelis veteran, Baharuddin, 71, peluang pertama kali bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah itu umpama mimpi indah buat dirinya yang kini menyara hidup dengan menjual sate di Segamat, Johor.

Beliau yang popular dengan novel berjudul “Senjakala” yang pernah menjadi buku teks sastera wajib bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1988 hingga 1992, bergantung hidup dengan hasil jualan antara RM500 hingga RM600 sebulan.

“Dengan pendapatan seperti itu saya memang tidak mampu untuk mengerjakan umrah, apatah lagi anak bongsu masih belajar di universiti. Saya bersyukur terpilih untuk program ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan kumpulan jemaah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Masih aktif menulis novel dan cerpen, Baharuddin yang mempunyai empat orang anak berusia antara 23 hingga 29 tahun berkata, beliau sedang menghasilkan sebuah novel baharu bertajuk “Lorong Syahadah”.- BERNAMA