Home Nasional Perkeso bayar pampasan RM3.27b tahun lalu

Perkeso bayar pampasan RM3.27b tahun lalu

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membayar pampasan sebanyak RM3.27 bilion pada tahun lalu khusus untuk pekerja yang mengalami kemalangan di tempat kerja.

Kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Richard Riot Jaem, pampasan yang meningkat berbanding tahun 2016 iaitu RM2.9 bilion berpunca daripada peningkatan kadar kemalangan pekerja di tempat kerja.

“Keadaan ini amat membimbangkan. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi imej negatif kepada wawasan negara sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2050.

“Peningkatan kemalangan ini turut menyebabkan industri kehilangan pekerja mahir, menurunkan kadar produktiviti, selain pekerja dan ahli keluarga kehilangan mata pencarian,” katanya selepas Majlis Penghargaan dan Pelantikan Ahli Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) 2018 – 2021.

Beliau dalam pada itu menzahirkan kesedihannya terhadap insiden kebakaran yang berlaku di bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP), Petaling Jaya, pagi tadi.

“Saya bersyukur kerana kemalangan itu tidak meragut nyawa dan saya serahkan kepada pihak bomba untuk jalankan siasatan,” ujarnya. -MalaysiaGazette