Aktiviti pembinaan projek kondominium yang kini sudah bermula di hadapan Sekolah Menegah Kebangsaan Agama, Maahad Hamidiah, Kajang.

KUALA LUMPUR – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah Kajang mempertikai kredibiliti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Ia berikutan pihak berkuasa tempatan berkenaan didakwa membenarkan kerja-kerja pembinaan projek jalan keluar masuk ke sebuah projek perumahan yang masih belum mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Baru-baru ini, menerusi sebuah posting di Facebook, persatuan berkenaan berkata, MPKj tidak sepatutnya membenarkan kerja-kerja pembinaan dimulakan sebelum kelulusan daripada LLM diperolehi.

“Namun, MPKj masih berpeluang untuk menjernihkan keadaan dengan memberi arahan stop work order (perintah berhenti kerja) dan seterusnya membatalkan Projek The Lourve jika gagal mendapat Kelulusan daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia.

“Pihak pemaju sendiri yang telah mengundang risiko kerana Kegagalan mematuhi tawaran bersyarat daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia,” kata persatuan berkenaan menerusi posting tersebut.

Tambah persatuan itu lagi, cadangan jalan keluar masuk terus ke Lebuhraya Silk hanyalah khayalan sahaja kerana pihak pemaju tidak berupaya membuktikan secara kejuruteraan, laporan TIA (Laporan Penilaian Impak Trafik) dan Road Safety Audit (audit keselamatan jalan) sehingga kini.

“Perkara ini amat mendukacitakan kepada pihak kami yang telah selama ini bertungkus-lumus untuk membuat pendedahan salah laku tetapi telah dipandang ringan oleh MPKj, Menteri Besar Selangor dan lain lain,” ujarnya.

Pada November tahun lalu penduduk di tiga kawasan iaitu Bandar Baru Bangi, Sungai Ramal dan Sungai Ramal Dalam membuat bantahan dengan berhimpun beramai-ramai di tapak pembinaan kondominium mewah The Lourve yang berhadapan dengan SMKA Maahad Hamidiah.

Ia berikutan berlaku perbezaan analisis membabitkan perjalanan keluar masuk dan pembinaan kondominum berkenaan dalam laporan pemaju kepada MPKj. – MalaysiaGazette