Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Kerja Pembinaan Terowong MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya di Stesen MRT Bandar Malaysia, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang tambangnya lebih rendah dengan menggunakan Mass Rapid Transit (MRT) kerana ia mendapat sokongan kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, tambang MRT di negara ini merupakan yang paling rendah di dunia dan ia penting untuk diketahui bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan pengangkutan itu.

“Kerajaan banyak memberikan sokongan kepada keseluruhan projek dan langkah itu mampu memberikan daya saing.

“Kita mahu mewujudkan persekitaran yang mesra pengguna supaya lebih banyak orang menggunakan pengangkutan awam. Kita ingin mencapai sasaran kami untuk memiliki 40 peratus saham modal (pengangkutan awam) menjelang 2020,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tiong Lai berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis pembinaan kerja terowong bawah tanah untuk laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di stesen Bandar Malaysia Utara, Sungai Besi di sini.

Turut hadir bagi pada pelancaran tersebut Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi MRT Corp Sdn Bhd Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Dalam pada itu, Tiong Lai memberitahu, jajaran SSP telah mencapai kadar kerja pembinaan 22 peratus dan dijadualkan siap keseluruhannya pada Julai 2022.

Manakala, fasa satu laluan dari Sungai Buloh ke Kampung Baru dijangka siap setahun sebelumnya. – MalaysiaGazette