Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang
Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang

KUALA LUMPUR – Seramai 76 kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengalami keracunan makanan sejak 28 Februari lalu, selepas dipercayai makan makanan tercemar.

Pengarah HTAR, Dr Ding Lay Ming berkata, kesemua yang terlibat merupakan petugas di Jabatan Anestesiologi.

Menurutnya, beliau mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan keracunan dipercayai berpunca daripada makanan yang disediakan oleh katerer swasta dari luar hospital.

“Siasatan awal mendapati bahawa kemungkinan keracunan makanan berlaku selepas kakitangan memakan makanan yang disajikan selepas mesyuarat jabatan berkenaan pada Rabu lalu.

“Pengurusan hospital bersama-sama dengan pasukan klinikal sudah menguruskan keadaan dengan baik untuk memastikan operasi hospital berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, semua kes pembedahan kecemasan dan perkhidmatan rawatan intensif tidak terjejas berikutan hanya satu jabatan sahaja yang terlibat.

Bagaimanapun jelas beliau, beberapa pembedahan elektif yang dijadualkan pada semalam dan hari ini ditangguhkan.

“Bantuan dan kerjasama berpasukan yang hebat dari semua pihak yang terbabit membolehkan perkhidmatan bilik bedah kini sudah kembali seperti biasa.

“Pihak berkuasa yang berkaitan dari Kementerian Kesihatan juga akan melakukan tindakan pemulihan yang diperlukan dan kami menunggu keputusan siasatan penuh,” ujarnya.

Dr Ding turut menafikan keracunan makanan itu berkaitan dengan demam kepialu. – MalaysiaGazette