Home Utama Penumpang bogel: Bahana tidak ada anak kapal lelaki

Penumpang bogel: Bahana tidak ada anak kapal lelaki

Laporan kes gangguan seorang penumpang lelaki dalam pesawat Malindo Air.

KUALA LUMPUR – Kejadian seorang penumpang lelaki berbogel dan menganggu beberapa anak kapal pesawat Malindo Air semalam diharap dapat membuka mata syarikat penerbangan itu tentang pentingnya kru lelaki dalam setiap penerbangan.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) yang kesal dengan insiden itu berkata, pihaknya tidak faham dengan polisi syarikat penerbangan berkenaan yang tidak menempatkan anak kapal lelaki.

Malah, NUFAM mempersoalkan mengapa Malindo Air diberi keistimewaan oleh pihak berkuasa penerbangan untuk mengecualikan kru lelaki dalam pesawat.

“NUFAM mahu pihak berkuasa penerbangan melihat insiden ini lebih serius. Kami telah membawa isu tahun lepas.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu melaksanakan peraturan keselamatan baru kepada syarkat penerbangan dengan menempatkan sekurang-kurangnya jumlah minimum anak kapal lelaki dalam menangani gangguan penumpang kepada kru wanita.

“Kita tidak mahu anak-anak kapal wanita menjadi mangsa gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan di sini sambil memberitahu banyak kejadian penumpang mabuk tetapi tidak dilaporkan dalam media.

NUFAM berkata, syarikat penerbangan tidak boleh bergantung kepada juruterbang lelaki jika ada kejadian yang tidak diingini berlaku semasa penerbangan kerana juruterbang perlu berada dalam kokpit.

Lagipun, tugas dan tanggungjawab juruterbang mengatasi masalah teknikal dan bukannya penumpang.

Tegas NUFAM terlalu banyak perkara yang tidak boleh diramalkan berlaku semasa dalam penerbangan, lantaran itu isu keselamatan dan keselesaan anak-anak kapal wanita tidak boleh dipandang remeh.

Sekurang-kurangnya perlu ada dua anak kapal lelaki bagi penerbangan jarak jauh dan sederhana.

Dalam kejadian semalam, seorang penumpang lelaki yang dalam penerbangan ke Dhaka berbogel dan menonton video lucah di tempat duduknya.

Lelaki yang berusia 20 tahun yang juga seorang penuntut pengajian tinggi di Cyberjaya itu didakwa menganggu anak kapal.

Pada peringkat awal perbuatan penumpang itu telah ditegur oleh anak kapal dan lelaki itu kemudian memakai baju semula.

Selepas pesawat berada dalam ketinggian 360,000 kaki, lelaki itu ke tandas, dia bertindak memeluk seorang pramugari.

Penumpang itu kemudian menjadi agresif selepas ditegur, memaksa anak kapal menahannya. – MalaysiaGazette