Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Tashid Shirlin melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Trafik di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 06 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan 107 projek jalan dengan pembiayaan kos kontrak sebanyak RM12 bilion di bawah Sektor Infra.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Roslan Md Taha berkata, turut dilaksanakan ialah 53 projek baru yang menelan belanja sebanyak RM5 billion.

Katanya, kini projek itu dalam peringkat rekabentuk dan perolehan dan akan dilaksanakan di bawah pakej Rolling Plan ke-3 (RP3).

“Penggunaan teknologi–teknologi baru turut diimplementasikan di dalam projek–projek JKR,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Trafik di Zon Pekerja – Pergerakan Mobiliti dan Keperluan Keselamatan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuik Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Roslan berkata, JKR berdepan cabaran pengurusan trafik di kawasan kerja apabila aktiviti pembinaan yang dinamik mewujudkan keadaan di luar jangkaan kepada pemandu yang mungkin boleh membahayakan.

Ujarnya, keadaan berlaku terutamanya apabila pelan pengurusan trafik yang dirancang dan diluluskan tidak mengambil kira situasi tersebut pada peringkat awal.

“Dalam memastikan projek siap mengikut jadual dan pada masa yang sama meminimakan impak pembinaan terhadap pengguna jalan raya sedia ada, JKR telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkasakan lagi pengurusan trafik di kawasan kerja,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi memenuhi harapan pengguna jalan raya, JKR sentiasa berusaha mencari peluang bagi melaksanakan penambahbaikan.

Jelas beliau, dalam memperkasa pelaksanaan pengurusan trafik di kawasan kerja, JKR telah membangunkan pelan tindakan yang menggariskan 12 bidang fokus utama, antaranya latihan dan penyebaran pengetahuan, rekabentuk dan perolehan, garis panduan dan spesifikasi, penghargaan, dan perhubungan awam dan hebahan.

“Dengan kesemua inisiatif dan pembaharuan yang telah diperkenalkan, saya berharap pengurusan trafik di kawasan kerja akan bertambah baik dan menyediakan persekitaran yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette