KUALA LUMPUR – Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran status negara berpendapatan tinggi, kata Dana Kewangan Antarabangsa.

Bagaimanapun, IMF mahu kerajaan meningkatkan pendapatan dan bukannya mencapai matlamatnya menerusi perbelanjaan awam untuk meningkatkan taraf hidup bagi 32 juta rakyatnya.

IMF juga memberi amaran bahawa hutang isi rumah yang semakin meningkat berbanding pertumbuhan ekonomi. merupakan kelemahan yang boleh memberi impak negatif kepada kedua-dua isi rumah dan sektor perbankan sekiranya berlaku kejutan ekonomi yang tidak dijangka.

Dalam laporan kajian IMF terhadap Malaysia, Nada Choueiri berkata, ekonomi Malaysia telah menunjukkan daya tahan pada tahun-tahun kebelakangan ini walaupun terdapat kejutan luaran.

“Pertumbuhan melepasi potensi, didorong oleh permintaan global yang kukuh bagi elektronik dan peningkatan terma perdagangan komoditi seperti minyak dan gas.

“Di peringkat domestik, kadar pekerjaan yang teguh meningkatkan penggunaan swasta dan pelaburan juga membantu memacu pertumbuhan,” katanya.

Beliau turut memuji Rancangan Malaysia ke-11, yang meliputi tahun-tahun 2016-2020 kerana meletakkan hala tuju arah status ekonomi maju dan inklusif yang lebih besar.

Laporan tersebut mencadangkan agar Kerajaan Malaysia mengalihkan tumpuannya ke arah menaikkan pendapatan, sambil menyifatkan pengurangan defisit dicapai melalui pemotongan perbelanjaan.

Malah, IMF turut mengakui pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang diperkenalkan pada tahun 2015 banyak membantu negara.

“Menuju ke hadapan, nasihat kami kepada pihak berkuasa untuk mengekalkan pengukuhan fiskal beransur-ansur tetapi pada masa yang sama terus meningkatkan pendapatan untuk melindungi perbelanjaan sosial dan pembangunan,” kata Choueiri.

Mengenai hutang isi rumah yang agak tinggi di Malaysia iaitu 84.6 peratus kepada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2017, Choueiri berkata, risiko yang berkaitan dengan hutang swasta yang tinggi dikurangkan jika isi rumah juga mempunyai aset yang cukup besar, dalam kes Malaysia.

“Oleh itu, hutang isi rumah bukanlah satu ciri negatif tetapi perlu dipantau secara dengan berhati-hati,” katanya.

IMF juga menekankan pentingnya menyokong pertumbuhan ekonomi, sambil mengekalkan kestabilan serta meningkatkan produktiviti melalui pembaharuan struktur.

Tambahnya, pengarah-pengarah IMF juga bersetuju dengan langkah penyatuan fiskal yang dirancang pada tahun 2018 kerana ia akan membantu membina penampan sambil mengekalkan keyakinan pasaran kewangan.

IMF turut menyokong langkah Bank Negara Malaysia (BNM) pada Januari lalu untuk meningkatkan kadar dasar monetari.

“Memandangkan kerangka dasar monetari BNM telah dilaksanakan dengan baik, pengarah-pengarah mengesyorkan dasar monetari dan fleksibiliti kadar pertukaran kekal sebagai pertahanan pertama terhadap kejutan,” tambah IMF. – MalaysiaGazette