M Kayveas

KETIKA pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain sibuk berkempen memancing undi untuk tarik sokongan rakyat, dua pemimpin ini masih ditakuk lama, berebut kerusi.

Inilah cerita-cerita yang sebenarnya kita tak mahu dengar ketika saat-saat gendang pilihan raya umum ke-14 hampir nak dipalu. Namun, MyPPP dengan MIC masih memilih untuk bertelagah.

Padahal kedua-duanya adalah parti komponen BN, tapi masing-masing bertelagah sesama sendiri berebut kerusi Parlimen Cameron Highlands.

MyPPP kata kerusi itu sepatutnya hak dia… MIC pula sanggah dan bertegas mempertahankan parlimen itu sebagai miliknya kerana dia menang dalam pertandingan PRU-13.

‘Pergaduhan’ seperti ini menyebabkan rakyat muak dengan BN. Rakyat bukan nak sangat undi calon Pakatan Harapan (PH), tapi kerana mereka bosan dengan pertelagahan yang tidak berkesudahan ini.

Perangai orang politik ini kadang-kadang kita tengok mengalahkan budak-budak. Malah, perangainya lebih dari kanak-kanak. Bila bergaduh, mereka lupa asal usul. Mereka lupa rakyat yang sedang memerhati dan mereka langsung tidak kisah apa yang bakal berlaku kepada parti.

Inilah perangai orang politik. Inilah yang berlaku di Cameron Highland. Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas mendakwa dia menunggu selama 17 tahun untuk mendapatkan semula kerusi itu yang diberikan kepada MIC.

Dia kemudian diletakkan di Parlimen Taiping, Perak dan bertanding pada PRU-11. Syukur, dia menang kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru. Dia dapat 20,129 undi dengan majoriti 2,172 undi. Calon DAP dapat 17,957 undi dan calon PKR hanya dapat 4,371 undi.

Tapi pada PRU-12, berlaku pertandingan dua penjuru antara beliau dengan DAP. Dalam pertarungan mempertahankan kerusi Taiping, dia kalah dengan majoriti besar iaitu 11,298 undi. Dia tewas di tangan Nga Kor Ming yang mendapat 28,098 undi. Dia hanya dapat 16,800 undi sahaja.

Selepas itu, pada PRU-13, beliau tidak bertanding. Beliau beri peluang kepada timbalannya bertanding di kerusi Parlimen Kepong. MyPPP kalah termasuk di empat kerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing satu di Melaka, Selangor, Perak dan Kelantan.

Kerana sudah satu penggal tidak bertanding, maka pada PRU-14 ini, beliau menawarkan diri nak bertanding dan kembali semula ke kerusi Cameron Highlands yang sebelum ini pucuk pimpinan BN berikan kepada MIC.

G. Palanivel

Kerusi itu ditandingi Presiden MIC, Datuk Seri Palanivel Govindasamy pada PRU-13 dan menang. Beliau menang mudah dalam pilihan raya itu yang menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Palanivel ketika itu ditentang calon dari DAP, M Manogaaran; calon Berjasa, Mohd Shokri Mahood dan dua calon Bebas, T Alagu dan K Kisho Kumar. Mungkin pengundi Cameron Highlands pening terlalu ramai calon, mereka pilih Palanivel untuk menang.

Bagaimanapun, selepas menang PRU 13, Palanivel dikatakan mula sibuk di pusat menyusun strategi untuk pertahankan jawatan Presiden MIC. Dia pegang jawatan itu pun selepas dipilih oleh Datuk Seri S Samy Vellu yang meletakkan jawatan pada Disember 2010.

“Kerana dia (Palanivel) sibuk dengan urusan parti di Kuala Lumpur yang ketika itu dalam krisis, dia tinggalkan Cameron Highlands dan rakyatnya begitu sahaja. Saya yang ‘jaga’ kawasan ini dan sentiasa memberi perhatian serta keutamaan kepada masyarakat di sini selama ini.

“Saya bukan datang sini enam bulan lepas dan meminta kerusi ini untuk diberikan kepada parti kami (MyPPP). Kerusi ini milik kami yang saya berikan (pinjam) kepada MIC sejak tahun 2001,” dakwa Kayveas.

Dari segi kekuatan antara Kayveas dengan Palanivel ni, saya tak boleh nak komen lebih-lebihlah. Sebab, mengikut rekod pertandingan pilihan raya, kedua-duanya pernah kalah, dan kedua-duanya juga pernah menang. Masing-masing seri.

Cuma, yakinkah Kayveas, jika beliau bertanding di kerusi itu, akan menang? Begitu juga Palanivel. Yakinkah dia, sebagai penyandang yang bertegas mahu mempertahankan kerusi itu, boleh menang?

Sebabnya, sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat di situ, beliau jarang balik ke kawasan. Tambahan pula selepas kalah dalam pertandingan Presiden MIC tahun 2015.

Ketika Pengerusi BN, Najib memberi peringatan dan nasihat kepada semua parti-parti komponen BN agar tidak mencetuskan krisis, kemelut, pertelagahan, pergaduhan, tuduh menuduh dan tuding menuding, masih juga hal-hal seumpama itu berlaku.

Pada saya, walaupun krisis atau kemelut itu dianggap dan dilihat kecil, hanya sebesar butir padi sahaja, tetapi ia sebenarnya mampu mengalihkan selera pengundi BN kepada calon lain. Sebab apa? Sebab rakyat bosan dengan pertelingkahan yang tiada pengakhiran ini.

Sebagai pengajaran, mereka sepakat beri undi kepada calon lawan dan berkata, ‘padan muka’. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan