Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bergambar kenangan bersama sebahagian daripada kakitangan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selepas selesai sidang media program Engagement Bersama NGO berkaitan isu Antipemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran (ATIPSOM) di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negara (KDN) menerusi Ibupejabat Polis Bukit Aman buat julung kalinya hari ini mengadakan pertemuan dengan wakil 12 badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan isu pemerdagangan orang.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pertemuan dan perbincangan melalui Program Bersama NGO Berkaitan Isu Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Ia memfokuskan tentang bagaimana pihak polis boleh mempertingkatkan khidmat siasatan, siasatan termasuklah penguatkuasaan, katanya.

“Perjumpaan ini lebih di peringkat yang permulaan dan sesi ini kita gunakan berkenalan antara satu sama lain supaya pihak NGO tahu mana-mana bahagian yang bertanggungjawab untuk menguruskan isu pemerdagangan ini dan kalau mereka ada masalah, cadangan ada maklumat dan sebagainya siapa yang harus mereka hubungi. Itulah matlamat utama perjumpaan pada hari ini.

“Antara isu yang kita bincang tadi adalah isu berkaitan dengan bagaimana untuk meningkatkan dari aspek penyiasatan, penjagaan ke atas mereka yang diselamatkan dan selain daripada itu kita juga berbincang bagaimana kita dapat tambah baik perkhidmatan kita kepada mereka,” katanya kepada pemberita ketika sidang media hari ini.

Menurut Noor Rashid, perjumpaan itu merupakan langkah yang ditunggu-tunggu oleh NGO pelbagai aspek dalam negara untuk menjadi sebahagian daripada pemberi input mengenai isu pemerdagangan orang dalam negara.

Beliau menambah, pihaknya akan menjadikan perjumpaan seperti ini sebagai rutin setiap empat bulan sekali bukan sahaja di antara polis di Bukit Aman bahkan di setiap kotinjen seluruh negara.

“Kita bercadang kalau boleh di antara tiga hingga empat bulan sekali kita nak buat perjumpaan yang seperti ini supaya mereka dapat sampaikan apa juga yang ada pada mereka.

“Mereka juga mencadangkan supaya bukan sahaja di peringkat Bukit Aman diadakan perjumpaan seperti ini bahkan di peringkat kotinjen saya telah bersetuju dengan cadangan ini dan saya akan mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negeri untuk adakah perjumpaan di peringkat kotinjen-kotinjen,” katanya lagi.

Lebih kurang 60 wakil  daripada 12 NGO yang hadir pada perjumpaan hari ini adalah Majlis Peguam, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). -MalaysiaGazette