Perodua KL, bilik pameran hibrid Perodua kini beroperasi

KUALA LUMPUR- Perodua mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang tidak bertanggung jawab yang cuba menipu pelanggan dengan mendakwa mereka wakil jualan syarikat itu yang mahu menjual kenderaan menggunakan portal jual-beli popular.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang pembayaran kepada akaun individu kerana prosedur operasi standard (SOP) syarikat itu adalah menerima pembayaran melalui akaun Perodua Sales Sdn. Bhd. atau wakil jualan bertauliah.

Beliau juga meminta pelanggan supaya meminta resit asli semasa membuat sebarang pembayaran.

“Kami ingin memberitahu orang ramai, buat masa sekarang kereta-kereta terpakai dan diiktiraf Perodua hanya dijual di cawangan Perodua di Jalan Pahang, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini polis berjaya menahan seorang suspek yang mempunyai hubungan dengan skim penipuan yang melibatkan penjualan kenderaan Perodua.

Menurut laporan media, lelaki yang berpura-pura sebagai wakil jualan Perodua itu telah menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit kepada mangsa.

“Perodua dan mangsa-mangsa terlibat telah pun membuat laporan polis berhubung perkara ini dan memberi kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang terlibat.

“Perodua menggesa orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelakkan terjerat dengan penipuan sebegini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette