Home Nasional Tolak parti yang mahu mansuh Akta Hasutan

Tolak parti yang mahu mansuh Akta Hasutan

Presiden Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali menunjukkan manifesto PAS dan Pakatan Harapan pada sidang media yang diadakan di Pejabat Perkasa Malaysia, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 22 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa rakyat menolak parti politik yang berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 menjelang pilihan raya yang akan datang.

Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun ianya dilihat bersifat populis kerana mampu menarik perhatian pengundi namun akhirnya akan memberi kesan buruk kepada negara khususnya dari aspek keselamatan.

“Orang Melayu dan orang Islam telah dijanjikan oleh parti tertentu betapa enak kita dengar, betapa seronok kita rasa tetapi kalau perkara-perkara yang disebut ini boleh mengganggu-gugat keselamatan negara, ia tidak memberi apa-apa erti.

“Saya mendesak dan meminta rakyat menolak mana-mana manifesto yang mahu memansuhkan Akta Hasutan. Ia harus dipertahankan dan parti politik jangan nak berjanji bulan dan bintang,” katanya.

Menurutnya, akta itu terbukti menjadi salah satu undang-undang yang berjaya menyumbang kepada keamanan negara walaupun terdapat tomahan ianya ditubuhkan untuk kepentingan tertentu dan telah disalahgunakan.

Malah Ibrahim berkata, jika berkuasa beliau mahu mewujudkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan melakukan penambahbaikkan.

“Akta Hasutan sudah terbukti setakat ini sedikit sebanyak berjaya menjamin keselamatan negara walaupun ada tuduhan ia disalahgunakan macam ISA dulu.

“Saya di antara Ahli Parlimen sewaktu undang-undang pemansuhan ISA dibentangkan, saya menentangnya dan mahu dikekalkan.

“Kalau saya boleh dan jika ada kuasa saya mahu mengembalikan ISA tetapi dengan penambahbaikan demi agenda keselematan,” tambahnya.

Pakatan Harapan dalam manifestonya baru-baru ini berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, selain Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 termasuklah Akta Keselamatan Negara 2016. – MalaysiaGazette