KUALA BERANG, 12 Okt -- Rumah bot ‘Persona Houseboat 2’ milik Kamaruddin Razali berlayar di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Dengan 340 buah pulau, 14 air terjun di samping jeram, hutan simpan dan gua, Tasik Kenyir menjanjikan pengalaman percutian yang menakjubkan bagi pelancong terutama pencinta alam semula jadi. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir kini mampu menjadi lokasi pilihan baharu agensi kerajaan atau swasta untuk mengadakan seminar dan kursus, di samping menikmati keindahan alam semula jadi.

Pengurus Pelancongan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Ahmad Fathil Abd Ghani berkata tarikan yang ada di sekitar tasik buatan manusia itu turut memberi ‘kesegaran’ berbeza berikutan adanya beberapa spesis burung dan pokok yang jarang dilihat di tempat lain.

“Jika sebelum ini semua program seminar mesti hendak diadakan di bandar raya seperti Kuala Lumpur, tetapi kali ini beberapa syarikat dan persatuan memilih tasik ini demi mencari kelainan.

“Konsep yang digunakan biasanya melibatkan alam semula jadi dan peserta mengikuti kelas seminar secara santai di bawah pokok…di samping menghadiri seminar, peserta juga boleh beristirehat,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis perasmian Kenyir Bird & Nature Quest di Slipway Sungai Buweh, Tasik Kenyir di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum ini, Terengganu dikatakan ketinggalan berbanding negeri lain dalam melaksanakan program seminar, namun kali ini beliau yakin dengan seminar berkonsep realiti alam semula jadi seperti yang dilaksana pada hari ini, Terengganu kini mampu bersaing dengan negeri lain.-BERNAMA