PULAU PINANG – Dua pegawai polis daripada Bahagian Komersial ibu pejabat Polis Daerah Tumur Laut di sini petang ini hadir ke pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi mengambil keterangan dipercayai membabitkan nyanyian lagu anti kerajaan.

Kedua-dua mereka dilihat tiba di pejabat Guan Eng di tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) kira-kira pukul 2 petang tadi.

Mereka kemudiannya mengambil keterangan Guan Eng yang ditemani peguamnya, RSN Rayer sejurus selepas sidang akhbar Ketua Menteri berkenaan.

Sebelum ini, polis mengesahkan akan memanggil Guan Eng berikutan video klip beliau menyanyikan lagu anti kerajaan bersama sekumpulan kanak-kanak yang tersebar di laman sosial.

Video yang dimuat naik oleh portal berita Cina menunjukkan Guan Eng mengetuai sekumpulan kanak-kanak menyanyikan lagu anti cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Video itu dipercayai dirakam ketika majlis pelancaran pusat tuisyen percuma anjuran kerajaan negeri di sebuah pangsapuri di Jelutong di sini dan turut dihadiri beberapa pemimpin DAP.

Ekoran itu, beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis kerana mendakwa Guan Eng mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan kepentingan politik.

Sehubungan itu, polis membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- MalaysiaGazette