Pembeli sedang berurusan untuk membeli kediaman di Serenia City, Sepang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR- Projek perumahan berangkai dua tingkat, di Serenia City dekat Sepang, Selangor berjaya dijual dalam tempoh sejam selepas dilancarkan.

Sime Darby Property Bhd. dalam kenyataannya berkata, projek kediaman pertama di Serenia City, Serenia Amania merangkumi pembangunan pegangan bebas di kawasan seluas 25.14 ekar terdiri daripada 302 unit rumah berangkai dua tingkat seluas 20 kaki x 70 kaki dengan harga bermula RM536,888 seunit.

“Ini menunjukkan produk yang betul ditawarkan di lokasi yang tepat akan diterima baik oleh pasaran.

“Ini juga menunjukkan ada permintaan tinggi bagi pembangunan kediaman pada harga yang munasabah di Serenia City dan Nilai Impian,” kata Ketua Pegawai Operasi Pembandaran, Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, kumpulan tersebut turut menerima permintaan kukuh bagi produk yang sama bagi kawasan Nilai Impian, di Nilai, Negeri Sembilan baru-bari ini apabila hampir 80 peratus unit yang ditawarkan berjaya dijual dalam masa yang singkat.

Orkid, sebuah projek pembangunan kediaman Sime Darby Property di Nilai Impian menyaksikan 76 peratus unit yang ditawarkan berjaya dijual pada hari pertama ia dilancarkan pada 24 Mac lalu.-MalaysiaGazette

[